Home » Visi Hajiji menjadikan Sabah lebih gemilang
Politik Sudut Pandangan

Visi Hajiji menjadikan Sabah lebih gemilang

SYUKUR: Seorang penerima menunjukkan telefon bimbitnya kepada Hajiji bahawa duit bantuan SYUKUR sudah dikreditkan ke dalam akaunnya sempena pelancaran program itu pada 10 Februari 2025.

TIGA malam yang lalu di Masjid Nur Falah Kampung Mengkabong, Tuaran, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor sekali lagi menyatakan rasa optimis kerajaan yang dipimpinnya mampu membentuk semula kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Baginya, rekod cemerlang kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus sehingga kini adalah asas keyakinan meraih mandat kedua nanti.

Ia berpasak kepada agenda Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dirintisnya selepas mandat pertama rakyat pada 2020 pasca pandemik COVID-19.

Dibarisi anggota Kabinet sekutu ideologi membangun negeri, kini Sabah berada pada landasan kukuh untuk meluncur maju dalam tempoh lima tahun kedua nanti.

Mengimbas perjalanan di pusingan pertama kerajaan ini, tidak dinafikan ia berdepan tantangan dan cabaran besar, baik dari segi politik mahupun ekonomi.

Apa tidaknya, kerajaan dibentuk pada ketika pandemik COVID-19 memuncak, manakala landskap politik berpalit kemelut sehingga tercetusnya kudeta  pada 2023.

Bangkit daripada gugatan tersebut, Hajiji tanpa membuang waktu membawa angin perubahan yang segar, memperkenalkan visi dan misi membangunkan Sabah secara holistik.

Dengan komitmen luar biasa, beliau fokus terhadap usaha yang menjurus kepada pengukuhan daya tahan ekonomi melalui tiga sektor terpenting, iaitu perindustrian, pertanian dan pelancongan, selaras Hala Tuju SMJ.

Pada masa sama, usaha turut diperkasa bagi memperkukuh infrastruktur dan utiliti bagi menyokong sektor-sektor ekonomi ini, tanpa mengubah tumpuan atau mengalih haluan.

Dengan pendekatan lebih proaktif dan perkongsian strategik swasta-awam, Hajiji menyimpan harapan besar dan cita-cita tinggi untuk menjadikan masa depan Sabah lebih gemilang.

Semua itu dilaksanakannya dengan berani dan sepenuh kudrat biarpun dalam diam dan lembut tetap tegas dan tuntas.

Memandang jauh ke hadapan, kerajaan negeri merangka Hala Tuju Strategik Pembangunan Negeri di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) sebagai langkah proaktif untuk memacu ekonomi dan pembangunan negeri.

Kerangka pembangunan RMK13 yang menjangkau tempoh  2026-2030, mengambil kira dasar, pelan pembangunan dan blueprint semasa, serta inisiatif-inisiatif utama yang sedang diterokai, termasuk inisiatif Ekonomi Biru.

Lebih penting, agenda pembangunan negeri di bawah RMK13 juga turut diselaraskan dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memastikan pembangunan negeri secara inklusif dan lestari, seiring dengan komitmen di peringkat nasional dan global.

Jelas bahawa landskap ekonomi Sabah telah mengalami transformasi signifikan di bawah pentadbiran Hajiji.

Mengikut laporan, hasil perdagangan negeri mencapai rekod tertinggi RM118.1 bilion pada tahun 2023.

Manakala sepanjang Januari hingga Julai 2024, negeri Sabah telah mencatatkan imbangan dagangan RM9.6 bilion, dengan nilai eksport direkod RM37.5 bilion berbanding import RM27.9 bilion.

Justeru, penganalisis ekonomi meramalkan pertumbuhan ekonomi Sabah berkembang positif pada kadar pertumbuhan purata antara 3.0 hingga 4.5 peratus dalam tempoh pelaksanaan RMK13.

Kejayaan Hajiji bukan hanya dapat dilihat melalui pencapaian ekonomi negeri ini, tetapi juga di sisi lain melalui pelbagai usaha gigih untuk memperbaiki infrastruktur, pendidikan dan kesejahteraan sosial rakyat Sabah.

Contoh jelas, kerajaan negeri menekankan aspek kesejahteraan rakyat marhaen menerusi prinsip  `ekonomi merakyat’ demi  untuk ‘menyalakan’ dapur ribuan rakyat, dengan memperkenalkan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).

Ia dilancarkan Hajiji pada 19 Februari lalu, menyediakan bantuan tunai RM300 setiap bulan kepada penerima yang layak sehingga 31 Disember 2025. Seramai 100,000 penerima mendapat manfaat, membabitkan peruntukan RM358.5 juta.

Disenaraikan menerusi Belanjawan 2025, SYUKUR antara lain bertujuan meringankan beban kewangan rakyat dan memastikan kesejahteraan kehidupan mereka terjaga.

Bersandar kepada inisiatif dan komitmen inilah, Hajiji dengan hati dan minda yang terbuka, berharap kerajaan yang dipimpinnya diberi peluang sekali lagi oleh rakyat untuk meneruskan pemerintahan di negeri bertuah ini.

“Jika kerajaan ini kembali memerintah, insya Allah kita akan kekal bersama-sama memperhebatkan pembangunan menerusi Hala Tuju SMJ 2.0 demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat, sesuai dengan agenda untuk menjadikan Sabah negeri yang hebat,” katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu 20205 Ketua Menteri Bersama Penjawat Awam pada 20 Februari lepas.

Hakikatnya, dengan perancangan strategik jangka panjang ini, Hajiji mampu membimbing negeri yang kaya khazanah biodiversiti ini ke arah masa depan yang lebih baik menerusi mandat kedua di pusingan kedua lima tahun akan datang.

*Datuk Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.