SANDAKAN :Ketua Penerangan Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Anna Bell Perian melahirkan rasa kekesalan ekoran daripada fitnah yang dilemparkan ke atas Mohd Reza Hajiji yang dituduh terlibat dengan kartel dadah.
“Perbuatan yang berniat jahat ini ibarat melempar batu sembunyi tangan sengaja dicetuskan untuk menarik perhatian sekaligus cubaan untuk menjejaskan imej YAB Ketua Menteri Sabah” ujarnya di kenyataan media yang disiarkan oleh facebook penerangan Wanita Gagasan Rakyat.
“Perumpamaan ini mengambarkan bahawa individu atau pihak terbabit terdesak dengan menabur fitnah mengalihkan perhatian rakyat untuk menyokong Kerajaan negeri yang tanpa henti membawa Pembangunan untuk rakyat dan negeri Sabah. Pihak ini juga sengaja mengadu domba kerana tidak ada isu yang ingin mereka utarakan.”
“Memasuki tahun baharu 2024, tahun yang masih menyaksikan peperangan dunia luar antara Israel–Palestin sedang berlaku sehingga mengundang ketidaktentuan politik peringkat antarabangsa dan juga kemelesetan ekonomi dunia seharusnya menjadi fokus utama semua pihak tidak kira pihak Kerajaan, pembangkang dan rakyat adalah berganding bahu untuk memulihkan dan membangunkan ekonomi negeri kerana kalau bukan kita semua siapa lagi.”
” Cukup-cukuplah berpolitik kerana rakyat sedang memerhatikan kita semua, tentu juga diselitkan doa-doa untuk kemenangan saudara mara kita di Palestin dalam berjuang membela tanah air mereka,” Anna Bell berkata.
Sabah dan rakyatnya menjadi contoh terbaik bukan hanya diperingkat negeri saja tetapi diperingkat nasional hidup aman harmoni tanpa peperangan meskipun berbeza budaya, kaum dan agama. “Namun sayangnya, ada pihak yang suka mencetuskan ‘peperangan’ yang dangkal, lagi busuk, dipenuhi hasad dengki untuk menjatuhkan orang lain.” tambah beliau.
“Mengapa tidak kita bersama-sama menjalankan tugas kita sebagai rakyat Sabah? Membina dan memakmurkan negeri tercinta, merentasi perbezaan ideologi.
“Bukan berusaha mencari akal dan helah untuk ‘menusuk duri menikam daging hingga kesuma jiwa lara’.
“Cukuplah segala kealpaan yang membinasakan selama ini dijadikan iktibar dan teladan kepada kita semua atas segala musibah, kekurangan mahupun perbezaan. Kita berdoa semoga Negeri Sabah yang kita cintai ini terus kekal Aman, Makmur dan Sejahtera untuk anak cucu cicit kita masa hadapan,” ujar Anna Bell.
Rentetan daripada itu, Wanita Parti Gagasan Rakyat dari Bahagian Sg Sibuga, Gum-gum, Elopura, Tg Papat, Karamunting, Sekong dan beberapa kawasan lain telah membuat laporan Polis agar siasatan terperinci dilaksanakan dan membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.
— TAMAT
Add Comment