KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun menegaskan sayap wanita gabungan itu akan berpegang teguh kepada keputusan yang telah diumumkan oleh kepimpinan tertinggi GRS berhubung kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau berkata, pendirian itu sejajar dengan kenyataan Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang mengesahkan kerjasama dengan PH bagi PRN akan datang.
“Siapa pun yang mengeluarkan kenyataan selepas itu mengenai kerjasama lain, kami hanya akan mengambil kira apa yang telah diputuskan oleh kepimpinan parti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama wakil-wakil Ketua Wanita GRS pada Jumaat petangt di sini.
Terdahulu, Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau sedang berunding dengan Barisan Nasional (BN) dan GRS bagi mengelakkan pertembungan pada PRN17. Pada 3 Ogos lalu, Anwar berkata, langkah itu bertujuan memastikan persefahaman antara GRS-BN-PH serta membina Sabah yang lebih stabil dan seiring dengan kepimpinan Kerajaan Persekutuan.
Dalam perkembangan berkaitan, Azizah menegaskan Wanita GRS akan mempertahankan kerusi sedia ada dan berharap pemimpin wanita yang kini memegang kerusi dapat dikekalkan.
“Mengenai pembahagian kerusi, itu adalah keputusan Pengerusi, Datuk Seri Hajiji Noor. Apa yang penting, kami akan terus bekerja mengikut hala tuju parti. Saya tidak melihat kerjasama dengan PH memberi kesan kepada kedudukan kami,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment