KOTA KINABALU:Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dalam menghadapi sebarang dakwaan atau tohmahan yang dilemparkan terhadap beliau.
Ketua Wanita GRS, Datuk Azizah Mohd Dun menegaskan bahawa kenyataan terbuka Datuk Seri Hajiji yang menyatakan “I have nothing to hide” merupakan bukti jelas bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang telus dan tidak gentar untuk disiasat.
“Kami yakin dengan pengerusi kami. Beliau sendiri telah berkata dengan tegas – ‘Siasatlah!’ Kalau beliau orang yang bersalah atau takut, beliau tidak akan berani berkata begitu. Oleh itu, Wanita GRS berdiri teguh di belakang Datuk Seri Hajiji,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Azizah menambah, kenyataan tersebut mencerminkan keikhlasan dan keberanian seorang pemimpin yang tidak gentar menghadapi kebenaran.
“Pemimpin yang berani berkata ‘pergilah siasat’ adalah pemimpin yang tidak menyembunyikan apa-apa. Ini menunjukkan keyakinan beliau terhadap proses undang-undang serta ketelusan dalam pentadbiran,” katanya lagi.
Wanita GRS turut menyeru seluruh rakyat Sabah untuk tidak terpengaruh dengan sebarang cubaan menggugat kestabilan politik negeri dan menzahirkan sokongan berterusan terhadap kepimpinan yang telah membawa pelbagai kemajuan kepada Sabah.
“Kami menyeru semua agar terus tenang dan percaya kepada kepimpinan yang berani, jujur dan bertanggungjawab. Sokongan padu daripada rakyat amat penting dalam memastikan kestabilan negeri terus terpelihara,” tambah beliau.
— TAMAT
Add Comment