Home » Pendirian KPMKR, mengutamakan pemerkasaan wanita di Sabah – James
Politik

Pendirian KPMKR, mengutamakan pemerkasaan wanita di Sabah – James

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng yang mewakili Datuk James Ratib ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan PKMGDPLB Daerah Nabawan kelmarin.

NABAWAN:Pelbagai halangan perlu ditangani dalam usaha mengangkat martabat wanita dewasa kini, antaranya stereotaip gender terhadap kepimpinan dan isu-isu pembangunan yang masih menyasarkan wanita termasuklah eksplotasi  seks serta keganasan rumah tangga.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib berkata, “atas kesedaran ini Program Kesedaran Mengarusperdanakan Gender Dalam Pembangunan Luar Bandar (PKMGDPLB) Daerah Nabawan anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) diadakan bukan Sahaja sekadar ungkapan tetapi bukti komitmen Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat  (KPMKR) untuk melaksanakan perubahan dalam pemerkasaan wanita di Sabah.

Katanya, cerminan dedikasi Kerajaan boleh dilihat dengat termeterainya komitmen di peringkat antarabangsa melalui ratifikasi Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita agar keperluan wanita diperkukuhkan lagi dengan mengaplikasikan Deklarasi dan Pelan Tindakan Beijing ke dalam dasar wanita di negara ini.   

 James berkata demikian Ketika merasmikan PKMGDPLB di Dewan Terbuka Dataran Nabawan pada khamis kelmarin.


Teks ucapan tersebut telah dibacakan oleh wakil beliau Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng.


Dalam ucapannya, James berkongsi Laporan Global Gender Gap Index 2020, keluaran World Economic Forum (WEF) yang menunjukkan Malaysia berada di tangga 102 daripada 146 negara.


“Ini bermakna, perjalanan bagi mengangkat agenda wanita di Malaysia khususnya di Sabah masih jauh berliku.”


“Walaupun pada hakikatnya pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan yang telah  menampakkan sedikit sebanyak perubahan.”

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib.


Berbekalkan garis panduan dan laporan WEF sebagai pemangkin kejayaan , beliau berkata usaha  tersebut perlu diteruskan sebagai langkah pemerkasaan wanita dalam apa jua bidang yang mereka ceburi pada masa yang sama akan merapatkan jurang gender di Malaysia ini terutama sekali di Sabah.

Sebelum mengakhiri ucapan tersebut, Flovia selaku wakil kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib juga mengingatkan pelaksanaan agenda pemerkasaan wanita bukannya untuk mencabar kaum lelaki sebaliknya berperanan untuk melengkapi mereka.

Menurutnya, sokongan lelaki adalah agen perubahan yang akan membuka lebih banyak ruang bagi mencapai inklusiviti untuk golongan wanita.

Turut hadir di Majlis Penutupan PKMGDPLB  Daerah Nabawan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin dan  Pengarah JHEWA Puan Haslinah Ismail .

TAMAT