Home » 30 keluarga terima sumbangan
Berita GRS Politik

30 keluarga terima sumbangan

Redonah bergambar kenangan bersama penduduk Kampung Nalapak, Kota Marudu.

KOTA MARUDU:Seramai 30 keluarga kurang berkemampuan di Kampung Nalapak, Kota Marudu menerima sumbangan bakul makanan menerusi program Ziarah Kasih yang diketuai oleh Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda.

Program yang berlangsung dalam suasana penuh mesra itu bukan sahaja menyantuni keluarga penerima, malah turut menjadi ruang mendekatkan hubungan kepimpinan wanita dengan masyarakat akar umbi.

Redonah dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah berganding bahu menjayakan inisiatif tersebut.

Redonah beramah mesra dengan penduduk kampung.

“Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan semangat kebersamaan kita, tetapi juga memperlihatkan kekuatan sikap keprihatinan serta komitmen bersama dalam membina masyarakat yang lebih sejahtera,” katanya.

Beliau menekankan bahawa program sebegini penting untuk memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir, terutama ketika berdepan dengan kos sara hidup yang semakin mencabar.

Menurutnya, sokongan moral dan perhatian sama penting dengan bantuan berbentuk material.

Program Ziarah Kasih turut diserikan dengan kunjungan mesra ke beberapa rumah penerima, sekali gus memberi peluang untuk mendengar sendiri cabaran dan keperluan mereka. Pendekatan ini menjadikan sumbangan lebih bermakna kerana ia disampaikan bersama rasa empati dan kesedaran.

Dengan kerjasama erat daripada jentera wanita di peringkat bahagian, Ziarah Kasih di Kampung Nalapak, Kota Marudu berjaya mengukuhkan nilai kepedulian sosial serta semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat.

Program ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk sama-sama menghulurkan bantuan dan menyemai budaya prihatin demi kesejahteraan bersama.

— TAMAT