Home » Rizab Sabah melonjak 160 peratus sejak GRS ambil alih
Berita GRS Politik

Rizab Sabah melonjak 160 peratus sejak GRS ambil alih

Gabungan Rakyat Sabah (GRS)

KOTA KINABALU : Rizab kewangan negeri Sabah melonjak kepada RM8.6 bilion pada 2024 berbanding hanya RM3.2 bilion pada 2019, mewakili peningkatan lebih 160 peratus dalam tempoh lima tahun.

Peningkatan ini dianggap bukti kukuh kecekapan tadbir urus kerajaan negeri di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selepas Warisan meninggalkan rizab yang rendah ketika memerintah.

Rizab kewangan negeri, yang terdiri daripada simpanan tunai dan pelaburan cair hasil royalti minyak dan gas, cukai, premium tanah, hasil hutan serta dividen GLC, berperanan penting sebagai penampan fiskal ketika ekonomi berdepan cabaran.

Pada 2019, rizab negeri hanya RM3.2 bilion, sementara ekonomi Sabah merosot kepada 9.2 peratus pada 2020. Bagaimanapun, sejak GRS mengambil alih, hasil negeri mencatat rekod tertinggi RM6.96 bilion pada 2022 dan RM6.973 bilion pada 2023, sekaligus mengembalikan keyakinan terhadap kestabilan fiskal Sabah.

Pengarah Pusat Pembangunan Ekonomi dan Dasar, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Saizal Pinjaman, berkata perkembangan rizab ini penting bagi memastikan kerajaan negeri mampu membiayai operasi dan pembangunan walaupun ketika harga komoditi global jatuh.

“Rizab yang kukuh menjadikan Sabah lebih berdaya tahan, selain memberi keyakinan pelabur. Dengan asas kewangan yang stabil, negeri tidak terlalu bergantung pada peruntukan Persekutuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menambah, rizab juga boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan projek ekonomi berimpak tinggi yang mampu menjana pekerjaan baharu serta mengurangkan jurang pendapatan masyarakat.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Inanam, Datuk Dr Roland Chia Ming Shen

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Inanam, Datuk Dr Roland Chia Ming Shen, turut menegaskan kenaikan rizab lebih 160 peratus itu membuktikan pentadbiran GRS lebih cekap dalam tadbir urus fiskal berbanding Warisan.

“Rizab masa Warisan hanya RM3.2 bilion, tetapi kini di bawah GRS meningkat lebih 2.5 kali ganda. Dalam tempoh 2021 hingga 2024, pertumbuhan ekonomi Sabah juga sentiasa positif, tidak pernah negatif,” katanya.

Beliau menambah, struktur ekonomi negeri kini lebih pelbagai hasil dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), sekali gus mengurangkan kebergantungan berlebihan kepada minyak, gas dan hasil hutan.

Secara keseluruhannya, peningkatan rizab kewangan negeri menjadi bukti Sabah kini berada pada landasan fiskal yang stabil, mampu bersaing, dan lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi global.

— TAMAT

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment