SANDAKAN:Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sungai Sibuga, Henry Hamdan, membidas kenyataan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, yang didakwa cuba memperlekeh kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Henry menegaskan Hajiji merupakan pemimpin yang sentiasa mengutamakan rakyat melebihi agenda politik kepartian, termasuk semasa membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri yang lalu bagi mengelakkan perpecahan rakyat.
“Ketua Menteri telah membuat agihan jawatan menteri dan pembantu menteri secara seimbang dan saksama. Ini jelas membuktikan beliau mendahulukan kepentingan rakyat,” katanya .
Menurutnya, kenyataan Suhaimi seolah-olah “kuman di seberang laut nampak, gajah depan mata tidak nampak” kerana dalam masa yang sama UMNO sendiri berdepan isu kepimpinan, termasuk kes rasuah yang masih membelenggu Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Henry turut mengingatkan tindakan mendesak Ketua Menteri berundur hanyalah usaha menutup pengkhianatan terhadap rakan gabungan GRS melalui episod Langkah Kinabalu.
Beliau menegaskan Hajiji wajar dipertahankan kerana dasar-dasar di bawah kepimpinannya telah membawa pelbagai manfaat kepada rakyat, termasuk bantuan pendidikan dan program akar umbi.
“Sekali lagi ditegaskan, pendirian Ketua Menteri adalah tepat ketika ini dan beliau harus terus diberi mandat untuk memimpin,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment