Home » G57 minta polis siasat fitnah, tohmahan terhadap Hajiji
Politik

G57 minta polis siasat fitnah, tohmahan terhadap Hajiji

LAPORAN POLIS: Zulkarnain menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Kinabalu di sini.

KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) meminta pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap fitnahan serta tohmahan negatif terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Pengerusinya Datuk Zulkarnain Mahdar berkata kenyataan negatif yang dikeluarkan oleh sebuah parti pembangkang itu tidak sepatutnya dikeluarkan dan mencerminkan amalan berpolitik yang tidak sihat daripada parti terbabit.

“Kita lihat jentera parti pembangkang ini sengaja berniat jahat dengan memfitnah Hajiji kononnya sengaja menangis dan tangisan ini adalah perbuatan seorang munafik.

“Lebih teruk lagi mereka mengeluarkan kata-kata negatif dengan menggelar pemimpin Sabah sebagai seorang tua yang bodoh dan perbuatan ini tidak boleh diterima sama sekali lebih-lebih membabitkan pemimpin yang memperjuangkan kemajuan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini semalam.

Beliau berkata kesemua kata-kata kesat ini dimuatnaik di hampir semua medium media sosial dan dilihat boleh menjatuhkan reputasi baik Hajiji.

“Untuk makluman Hajiji secara spontan mengeluarkan air mata semasa berucap merasmikan Wisma Parti USNO di Donggongon berikutan mengenang pelbagai cabaran dalam perjuangan politik.

“Pihak pembangkang bagaimanapun mengambil kesempatan mendakwa keadaan ini sengaja direka-reka dan hanya tindakan munafik menyebabkan kami tampil membuat laporan polis agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap perlakuan melebihi batas ini,” katanya.

Beliau berkata pihak pembangkang juga perlu mengakui kejayaan yang dibawa oleh Hajiji sepanjang mentadbir Sabah termasuklah penambahbaikan kadar ekonomi serta kemasukan pelabur asing ke sini sehingga membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan berbanding pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Ini bukanlah tindakan berpolitik yang sihat, sekiranya ingin berjuang lihatlah keadaan diri sendiri sebelum melontarkan kata-kata negatif sehingga memperlihatkan rendahnya imej pihak pembangkang itu sendiri.

“Marilah kita membudayakan politik secara berhemah dan bersikap matang sebelum membuat sebarang kenyataan bagi mencerminkan tingginya akhlak dan tahap intelektual sesebuah parti itu,” katanya.

Terdahulu beberapa pemilik akaun media sosial memuatnaik hantaran yang mendakwa Hajiji bersikap munafik kerana menangis disebabkan politik semata-mata.

Tidak kurang juga sebahagian lagi mendakwa bahawa rakyat Sabah malang selepas mendapat pemimpin yang hanya tahu berlakon di atas pentas.

Katanya perkara seperti itu tidak sepatutnya dikeluarkan dan laporan polis berkenaan adalah bagi meminta pihak polis menjalankan siasatan agar tindakan tegas dapat dikenakan kepada penyebar fitnah terbabit.

TAMAT