TUARAN: Seramai 500 murid dan pelajar berusia lima sehingga 17 tahun di daerah ini menerima alat tulis serta buku latihan percuma.
Pengerusi Tuaran Youth Town Club (TYTC) Mohammad Ghazali Haji Hajiji berkata, Program ‘Back To School’ diadakan di Arena Futsal Tuaran, Kampung Lok Batik bermula jam 8 pagi sehingga jam 12 tengahari itu adalah inisiatif untuk meringankan beban ibu bapa menjelang pembukaan sesi baharu persekolahan.
Katanya, program anjuran TYTC itu turut menyediakan perkhidmatan gunting rambut secara percuma.
“Kebiasaannya kos untuk gunting rambut pelajar di kedai adalah antara RM7 sehingga RM10, tetapi mereka diberikan perkhidmatan percuma menerusi program ini.
“Program ini juga bertujuan merapatkan hubungan silaturahim antara pengurusan TYTC dan masyarakat setempat,” katanya.
Mohammad Ghazali berkata, program itu diharapkan mampu membantu mempertingkatkan minat murid untuk hadir semula ke sekolah.
Turut diadakan, tiga kategori pertandingan mewarna bagi umur enam tahun dan ke bawah, tujuh sehingga sembilan tahun serta 10 sehingga 12 tahun.
Add Comment