Home » Pertemuan Hajiji dan TYT Melaka buka ruang kerjasama dua Negeri
Berita GRS Politik

Pertemuan Hajiji dan TYT Melaka buka ruang kerjasama dua Negeri

MESRA: Hajiji bertukar pandangan bersama Mohd Ali dalam suasana mesra sempena kunjungan hormat Ketua Menteri Sabah ke Istana Melaka — platform mempererat hubungan serta membincangkan perkara berkaitan kepentingan bersama kedua-dua negeri.

MELAKA: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam, di Istana Melaka, Bukit Beruang, pada Jumaat.

Kunjungan berkenaan menjadi platform untuk mempererat hubungan antara Sabah dan Melaka, selain memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pelbagai perkara yang mempunyai kepentingan bersama.

Hajiji bersama rombongan tiba di Istana Melaka kira-kira jam 3.35 petang dan disambut oleh Mohd Ali sebelum kedua-duanya mengadakan pertemuan serta perbincangan dalam suasana mesra.

Turut mengiringi Ketua Menteri ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang; Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar; serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohd Razali Mohd Razi.

Pertemuan itu turut menyentuh pelbagai perkara berkaitan kepentingan Sabah dan Melaka, sebelum kunjungan diakhiri dengan jamuan petang.