KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan sokongan padu terhadap Ketua Pergerakannya, Datuk Redonah Bahanda, yang terus mendapat mandat dan kepercayaan kepimpinan serta ahli sayap berkenaan di seluruh Sabah.
Naib Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Aziah Atoh, berkata pihaknya memandang serius penyebaran poster serta naratif yang cuba menimbulkan persepsi negatif dan mempertikaikan kepimpinan Redonah.
Menurutnya, Redonah kekal mendapat kepercayaan untuk menerajui Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat, selain terus memperkukuh organisasi dan gerak kerja di peringkat akar umbi.
“Di bawah kepimpinan beliau, Wanita Gagasan Rakyat terus diperkasa untuk bergerak lebih aktif di peringkat akar umbi, khususnya dalam memperluas khidmat kepada rakyat serta memberi perhatian terhadap agenda kebajikan wanita, keluarga dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aziah berkata, Wanita Gagasan Rakyat menolak sebarang usaha menggunakan persepsi, propaganda atau naratif tidak berasas yang boleh menjejaskan perpaduan serta keharmonian dalam parti.
Katanya, perbezaan pandangan harus ditangani secara matang dan berhemah, bukannya melalui penyebaran dakwaan yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli serta masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berkata Wanita Gagasan Rakyat akan terus memberi tumpuan kepada gerak kerja di lapangan, mendekati masyarakat serta memastikan agenda perjuangan Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus difahami dan dirasai rakyat.
Beliau turut menyeru seluruh ahli supaya kekal tenang, bersatu dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang propaganda atau naratif negatif yang bertujuan menggugat semangat serta perpaduan parti.
“Sudah tiba masanya kita mengukuhkan saf, memperteguh perpaduan dan memperluas khidmat kepada rakyat, bukannya meretakkan tembok yang telah kita bina bersama,” katanya.
Aziah berkata, kekuatan sesebuah organisasi bergantung kepada kesatuan, disiplin serta keupayaan ahlinya untuk meletakkan kepentingan parti dan rakyat mengatasi kepentingan lain.
Justeru, katanya, Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat akan terus berdiri teguh bersama kepimpinan parti sambil memperkukuh organisasi dan memastikan suara serta khidmat parti terus sampai ke peringkat akar umbi.

























Add Comment