Home » Hampir RM1 Bilion pacu sektor Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan Sabah
Berita GRS Politik

Hampir RM1 Bilion pacu sektor Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan Sabah

PENDIGITALAN: Hajiji melancarkan aplikasi permohonan Rumah Mesra SMJ dalam talian sebagai sebahagian usaha Kerajaan Negeri memperkukuh pendigitalan dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cepat, telus serta mesra rakyat.

KENINGAU:Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM1 bilion tahun ini bagi pembangunan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan yang terus menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata setiap daerah mempunyai kekuatan dan potensi ekonomi tersendiri yang perlu dikenal pasti serta dibangunkan secara terancang bagi membuka lebih banyak peluang pelaburan, pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat.

“Ada daerah yang mempunyai kekuatan dalam pertanian, ada yang mempunyai potensi pelancongan, sumber marin serta potensi dalam industri dan perdagangan. Semua potensi ini perlu dikenal pasti dan dibangunkan secara terancang.

“Tugas kita ialah memastikan potensi tersebut dapat diterjemahkan kepada peluang pelaburan, pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pegawai Daerah Negeri Sabah Ke-29, di sini, Isnin.

Hajiji berkata, Ekonomi Biru turut mempunyai potensi besar untuk dikembangkan, khususnya di kawasan luar bandar memandangkan Sabah memiliki sumber marin, biodiversiti serta kawasan pesisir yang luas.

Menurutnya, sumber berkenaan perlu dimanfaatkan secara berhemah dan mampan bagi mewujudkan peluang ekonomi baharu serta meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.

“Saya berharap Pegawai Daerah dapat membantu mengenal pasti potensi itu dan memudah cara pelaburan yang sesuai dengan keperluan serta kekuatan setiap daerah,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri menyediakan siling peruntukan pembangunan sebanyak RM12.02 bilion bagi melaksanakan 1,173 program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tahun ini — jumlah tertinggi dalam sejarah Belanjawan Sabah.

Daripada jumlah itu, sebanyak 241 merupakan projek sambungan manakala 932 lagi adalah projek baharu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan peruntukan yang besar perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan berkesan dan manfaat sebenar kepada rakyat.

“Semakin besar peruntukan yang disediakan, semakin besar juga tanggungjawab kita untuk memastikan pelaksanaannya benar-benar berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji mahu setiap Pegawai Daerah memberikan perhatian serius terhadap pelaksanaan projek dan program di kawasan masing-masing, termasuk melakukan pemantauan berterusan serta mengenal pasti lebih awal sebarang masalah yang boleh menyebabkan kelewatan.

Beliau berkata, ukuran kejayaan pembangunan tidak seharusnya hanya berdasarkan jumlah projek yang diluluskan atau disiapkan, sebaliknya perlu mengambil kira impak sebenar terhadap kehidupan rakyat.

“Kita perlu melihat kepada impak untuk rakyat. Adakah masalah rakyat telah diselesaikan, kemudahan mereka bertambah baik, peluang ekonomi bertambah dan adakah kualiti hidup rakyat meningkat?

“Inilah ukuran sebenar kejayaan pembangunan,” katanya.

Hajiji berkata, pembangunan luar bandar akan terus menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri, khususnya dalam penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.

Tumpuan turut diberikan kepada perumahan, pendidikan, peluang pekerjaan, keusahawanan serta pembangunan ekonomi masyarakat dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Pada masa sama, Hajiji berkata Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh agenda pendigitalan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar atas pembangunan aplikasi permohonan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) secara dalam talian, yang disifatkan sebagai langkah penting ke arah perkhidmatan kerajaan yang lebih cepat, telus dan mesra rakyat.

“Saya berharap aplikasi ini terus diperkasakan, termasuk melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI). Teknologi ini boleh membantu rakyat mendapatkan maklumat dengan lebih mudah, selain memudahkan proses permohonan dan semakan,” katanya.

Hajiji turut mahu budaya kerja dalam pentadbiran daerah terus diperkukuh menerusi penyampaian perkhidmatan yang pantas, keputusan tepat serta tatakelola yang baik dengan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Menurutnya, kesinambungan dasar dan pembangunan penting kerana rakyat memerlukan kepastian, pelabur memerlukan keyakinan, manakala jentera kerajaan memerlukan hala tuju yang jelas.

“Kejayaan kerajaan bukan hanya diukur melalui dasar yang diumumkan atau jumlah peruntukan yang disediakan, tetapi melalui perubahan yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat.

“Apabila jalan menjadi lebih baik, bekalan air bertambah baik, peluang ekonomi bertambah dan kehidupan rakyat menjadi lebih sejahtera, maka itulah hasil sebenar pembangunan,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh jentera pentadbiran daerah supaya menjadikan Pejabat Daerah sebagai institusi yang cekap, responsif, berintegriti dan dekat dengan rakyat.

“Dengan komitmen seluruh jentera kerajaan, saya yakin kita mampu meneruskan kesinambungan pembangunan negeri dan menjayakan Sabah Maju Jaya 2.0 demi masa depan Sabah yang lebih maju, makmur dan sejahtera,” katanya.