KOTA KINABALU: Exco Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Dr. Davina Markus, menegaskan sokongannya terhadap Datuk Redonah Bahanda untuk terus menerajui Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat kekal utuh dan tidak berbelah bahagi.
Davina berkata, penjelasan itu dibuat susulan situasi yang berlaku baru-baru ini apabila namanya dikaitkan dengan satu isu yang pada asalnya tidak mempunyai kaitan dengannya, sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah wujud usaha menggugat kesatuan dalam kepimpinan Wanita Gagasan Rakyat.
Beliau menegaskan tidak pernah terlintas untuk merebut jawatan Ketua Wanita Gagasan Rakyat (PGRS), apatah lagi mencalonkan dirinya bagi jawatan berkenaan.
“Sokongan saya terhadap Redonah kekal utuh, baik secara terang-terangan mahupun di belakang tabir. Pendirian saya kekal bersama beliau untuk terus menerajui kepimpinan sebagai Ketua Wanita PGRS,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu.
Menurut Davina, beliau difahamkan terdapat pihak tertentu yang mengusulkan namanya tanpa pengetahuan atau persetujuannya, justeru perkara itu adalah di luar kawalannya.
Beliau berkata, setiap anggota wanita dalam parti mempunyai kelayakan, kemampuan dan kelebihan masing-masing untuk memimpin. Bagaimanapun, beliau akan sentiasa menghormati serta menyokong sesiapa sahaja yang diberikan mandat oleh Presiden dan parti.

Davina berkata, penyertaannya dalam PGRS juga adalah atas pelawaan Redonah sendiri, dan niatnya sejak awal adalah untuk menyumbang kepada parti mengikut kemampuan serta kapasiti yang dimiliki.
Beliau turut menyatakan kesediaan menerima keputusan majoriti sekiranya kedudukannya dalam barisan Exco dianggap tidak lagi sesuai, termasuk berundur secara terhormat.
Namun, sekiranya masih diberikan kepercayaan dan dilihat mampu memberi nilai tambah kepada organisasi, beliau bersedia meneruskan komitmen sebagai sebahagian daripada pasukan dalam memperkukuh perjuangan parti.
Dalam pada itu, Davina menolak budaya politik tidak sihat termasuk perbuatan menikam dari belakang, menyebarkan fitnah atau melaga-lagakan sesama anggota sehingga boleh menjejaskan perpaduan parti.
“Saya menolak keras tindakan menjadikan nama saya sebagai ‘kambing hitam’ dalam permainan politik yang kotor. Saya berpegang teguh kepada prinsip politik yang bersatu padu, telus dan berasaskan meritokrasi,” katanya.
Beliau turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai isu atau rasa tidak puas hati terhadapnya supaya menyelesaikannya secara bersemuka dan profesional, bukannya menerusi cerita atau dakwaan yang boleh menimbulkan salah faham.
Menurutnya, sebarang penilaian juga sewajarnya dibuat secara adil dengan memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk memberikan penjelasan.
Davina berharap seluruh barisan Exco Wanita PGRS terus mengamalkan politik matang dan profesional serta tidak membiarkan perbezaan atau emosi peribadi menjejaskan urusan organisasi.
Beliau pada masa sama menegaskan komitmennya untuk terus bekerja bersama kepimpinan parti, memperkukuh kesatuan Wanita PGRS dan berbakti kepada masyarakat.

























Add Comment