KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menerima kunjungan hormat Konsul Republik Indonesia (KRI) di Tawau yang baharu, Bapak Dino Nurwahyudin, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Kunjungan itu antara lain bertujuan memperkenalkan Dino secara rasmi kepada Ketua Menteri selepas beliau memulakan tugas sebagai Ketua Perwakilan KRI Tawau pada 9 Julai lalu.
Dino berkata, pertemuan berkenaan turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai beberapa perkara berkepentingan bersama, selain membincangkan sasaran serta cadangan yang ingin dilaksanakan sepanjang tempoh penugasannya di Sabah.
Menurutnya, beberapa ruang kerjasama turut dikenal pasti bagi memperkukuh lagi hubungan sedia ada antara Sabah dan Indonesia.
“Hubungan antara Indonesia dan Sabah sememangnya erat dan telah terjalin sejak sekian lama.
“Kita juga berharap lebih banyak penerbangan terus dapat diwujudkan antara Indonesia dan Sabah bagi memudahkan pergerakan serta meningkatkan hubungan antara rakyat kedua-dua wilayah,” katanya.
Dino berkata, hubungan rapat itu perlu terus diperkukuh menerusi kerjasama dalam pelbagai bidang yang mampu memberi manfaat bersama kepada rakyat Sabah dan Indonesia.
Dino mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan diplomatik, termasuk pernah berkhidmat sebagai Konselor di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur, serta memegang pelbagai jawatan di Kementerian Luar Negeri Indonesia dan perwakilan diplomatik republik itu di luar negara.
Beliau juga pernah berkhidmat di KRI Tawau dalam bidang Penerangan, Sosial dan Kebudayaan pada 2024 hingga 2025 sebelum dilantik sebagai Ketua Perwakilan KRI Tawau.
Turut hadir dalam kunjungan hormat berkenaan ialah isteri beliau, Ibu Gain Nrangwesty.

























Add Comment