Home » ADUN Kawang redah banjir, santuni penduduk terjejas
Berita GRS Politik

ADUN Kawang redah banjir, santuni penduduk terjejas

TURUN PADANG: Ghulam meredah banjir untuk menyantuni penduduk yang terjejas akibat bencana alam itu.

PAPAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Dato’ Sri Haji Ghulam Haidar Khan Bahadar, turun padang menziarahi penduduk yang terjejas banjir di beberapa kawasan sekitar Kawang termasuk Kampung Kinarut, petang kelmarin.

Dalam lawatan itu, Ghulam menerima taklimat daripada pegawai jabatan dan agensi kerajaan mengenai keadaan semasa selain mendengar sendiri keluhan penduduk yang terlibat. Beliau yang juga Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah turut meredah banjir untuk menyantuni keluarga mangsa di kediaman masing-masing.

PRIHATIN: Ghulam bersama penduduk ketika meninjau kawasan terjejas banjir kelmarin.

Turut hadir Setiausaha Sulit Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Roslie Haji Ibrahim; Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) Sabah, Azrul Haji Ibrahim; Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Fahzeen Haji Mohiddin; serta beberapa pemimpin masyarakat setempat.

Ghulam menzahirkan harapan agar penduduk yang terjejas bencana tabah menghadapi ujian tersebut. Daerah Papar telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana bersama Membakut, Putatan, Tawau, Beaufort dan Penampang oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

Seorang penduduk Kawang, Pak Nordin Jikor, menyifatkan Ghulam sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang sentiasa dekat dengan masyarakat.
“Beliau pemimpin yang baik hati dan tidak mengira keadaan – sama ada banjir, kebakaran, kematian atau majlis perkahwinan – ‘Jomo Bioso’ ini pasti hadir untuk bertemu dan berinteraksi dengan penduduk,” katanya.

MERAKYAT: Pak Nordin menyifatkan Ghulam sebagai pemimpin sejati yang berjiwa rakyat.

Menurut Nordin, Ghulam juga dikenali sebagai pemimpin yang merendah diri dan tidak membezakan bangsa, agama mahupun pandangan politik.

“Sejak menjadi wakil rakyat Kawang, beliau melayani semua penduduk dengan adil. Sebagai anak jati kampung, kami amat menyenangi keperibadian beliau,” tambahnya.

— TAMAT