Home » Pembatalan sambutan Hari Malaysia fokus bantu mangsa banjir : Nizam
Berita GRS Politik

Pembatalan sambutan Hari Malaysia fokus bantu mangsa banjir : Nizam

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menyokong penuh keputusan Kerajaan Negeri membatalkan sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri bagi memberi tumpuan kepada usaha membantu mangsa banjir yang melanda beberapa daerah di Sabah.

Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, langkah itu mencerminkan keutamaan kerajaan dalam melindungi nyawa dan keselamatan rakyat.

“Sambutan boleh ditunda, tetapi nyawa dan keselamatan rakyat tidak boleh diganti. Keputusan ini tepat pada waktunya dan penuh tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sabah supaya terus bersatu hati, saling membantu dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa serta pasukan penyelamat yang sedang bertugas siang dan malam.

“Setiap usaha kecil daripada kita – sama ada bantuan barangan asas, tenaga sukarela atau doa – sangat besar maknanya bagi mereka yang sedang menderita,” ujarnya.

Menurut Nizam, Hari Malaysia adalah simbol perpaduan dan semangat itu harus dizahirkan melalui solidariti bersama mangsa bencana, bukan sekadar kata-kata semangat tetapi melalui tindakan yang mampu meringankan beban mereka.

“Saya yakin dengan kesatuan hati, ketabahan dan tindakan bersama, Sabah akan bangkit semula daripada dugaan ini. Semangat rakyat Sabah bukan sekadar slogan, tetapi realiti hidup yang menzahirkan kasih sayang kita kepada negeri dan rakyatnya,” tegas beliau.

— TAMAT