Home » Mesyuarat khas pemulihan bekalan elektrik Pantai Timur Sabah
Berita GRS Politik

Mesyuarat khas pemulihan bekalan elektrik Pantai Timur Sabah

BINCANG: Hajiji semasa dalam mesyuarat itu.

KOTA KINABALU: Satu mesyuarat khas bagi membincangkan pemulihan segera bekalan elektrik di kawasan Pantai Timur Sabah diadakan di kediaman rasmi Ketua Menteri di sini susulan gangguan bekalan baru-baru ini.

Mesyuarat dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, susulan kejadian runtuhan tanah di Kampung Sarapung, Penampang yang menyebabkan menara penghantaran Kolopis–Segaliud 275kV tumbang.

Ketua Pegawai Operasi Sabah Electricity, Mohd Yusmanizam Mohd Yusof, yang juga Komander Krisis bagi operasi pemulihan, memaklumkan pasukan teknikal kini berada di lokasi dan giat melaksanakan kerja-kerja penyambungan semula talian penghantaran.

“Kerja-kerja pemulihan dijangka siap dalam tempoh dua hari, bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya dalam taklimat kepada mesyuarat itu.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengarah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong, serta Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Datuk Yahya Sulaiman.

Hajiji berkata kerajaan negeri memahami cabaran yang dihadapi petugas di lapangan dan menekankan keselamatan pasukan sebagai keutamaan.
“Saya faham kerja pemulihan sangat mencabar. Walaupun kita mahu ia diselesaikan segera, keselamatan pasukan di lokasi mesti diutamakan,” katanya.

Ketua Menteri turut mengarahkan Sabah Electricity untuk memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai secara berkala serta terus memantau keadaan cuaca dan status pemulihan.

— TAMAT