Kota Kinabalu: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Terminal 2, di sini, kira-kira 4 petang untuk lawatan rasmi dua hari ke negeri ini.
Beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag serta kenamaan lain.
Mengikut jadual, Anwar menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri dan persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 4.30 petang.
Beliau kemudian dijadualkan menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di Masjid Negeri Sabah, sebelum menghadiri majlis makan malam bersama jemaah Kabinet Sabah.
Esok, Anwar dan Dr Wan Azizah dijadualkan melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini.
Perdana Menteri kemudian dijadual berlepas ke Manila, Filipina bagi lawatan rasmi ke negara terbabit.
— Rafiqah Dahali
Add Comment