KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan bersetuju mempertimbangkan kenaikan peruntukan khas kepada Sabah selaras dengan kenaikan peruntukan khas diberikan kepada Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ketika ini Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan peruntukan khas RM300 juta kepada Sarawak, manakala Sabah menerima kurang daripada jumlah itu.
Katanya, usaha menambah peruntukan khas kepada Sabah wajar bagi memastikan negeri ini tidak ketinggalan setelah berpuluh tahun menerima kadar yang rendah.
“Berkaitan peruntukan khas, apabila tubuh Malaysia pada 1963, Sabah memang ketinggalan, maka ada beberapa perjanjian, rundingan berapa puluh juta diberi kepada Sabah dan Sarawak.
“Namun, munasabahkah RM20 juta untuk mempercepatkan pembangunan, sudah tentu tidak.
“Mulai tahun ini, segera RM300 juta kepada Sarawak dan kurang sedikit kepada Sabah, tapi saya akan timbang untuk tambah, insya-Allah,” katanya dalam ucapannya pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
“Bagaimana kerajaan silih berganti, hal begini dibiarkan. Sebab itu jangan pandang ringan soal pimpinan negara, jangan fikir bergaduh pasal kaum dan parti, kita mesti wujudkan pimpinan yang bertanggungjawab, jangan ada sentimen kaum, jaga negeri ini.
“Saya yakin kalau landasan betul, hentikan ketirisan, bocor, Sabah ini boleh menjadi negeri yang gagah dan Malaysia pun naik,” katanya.
Anwar berkata, pemberian kuasa kepada kerajaan negeri untuk melulus dan melaksanakan projek bernilai hingga RM50 juta adalah antara penyelesaian yang dilaksanakan bagi memastikan peruntukan kepada Sabah dan Sarawak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Jadi sekarang ini semuanya di bawah kerajaan negeri untuk melaksanakan projek bernilai sehingga RM50 juta,” katanya.
“Kita akan lihat lepas ini cepat atau tidak. Dulu, Ketua Menteri selalu tanya saya bila projek siap setiap kali saya datang, sekarang, bila kita beri kuasa, saya pula tanya bila projek siap,” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau juga mengarahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk memantau kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo agar pembinaannya dapat dipercepatkan.
— Izwan Abdullah
Add Comment