KOTA KINABALU: Kira-kira 20,000 rakyat negeri ini hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran kerajaan negeri yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.
Anwar tiba di Sabah kira-kira jam jam 11:05 pagi sebelum menghadiri majlis itu yang diadakan di di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Turut hadir Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni, selain Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta barisan jemaah menteri lain.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ariffin Arif, selaku pengerusi penganjur berkata pihaknya menyifatkan kehadiran pengunjung dalam acara rumah terbuka hari ini sangat memberangsangkan.
“Kehadiran pengunjung sangat luar biasa kerana sudah tiga tahun kita tidak membuat acara rumah terbuka berskala besar.
“Tahun ini akhirnya kita dapat buat acara secara terbuka kerana sebelum ini kita tidak dapat lakukannya disebabkan pandemik COVID-19.
“Sejak pagi tadi, anggaran seramai 20,000 orang hadir. Mudah-mudahan acara sebegini menjadi wadah menjalin silaturahim dan keharmonian.
“Perdana Menteri juga gembira dan mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor atas penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah 2023 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata pihaknya akan menjadikan program terbabit sebagai acara tahunan di samping melaksanakan penambahbaikan diperlukan.
Lebih 50 gerai dengan pelbagai jenis menu disediakan untuk orang ramai yang berkunjung ke majlis rumah terbuka itu.
Add Comment