TAWAU: Semua madrasah swasta di daerah ini disaran segera mendaftarkan institusi masing-masing dengan jabatan berkaitan bagi membolehkan pemantauan dan penyaluran bantuan dilakukan secara lebih tersusun.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata setiap madrasah perlu berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
“Pendaftaran rasmi penting bagi mengelak sebarang isu bertentangan hukum syarak serta memastikan madrasah beroperasi mengikut landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dengan pendaftaran ini, bantuan operasi, pembangunan dan pendidikan agama juga lebih mudah disalurkan,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Apas berkata demikian selepas merasmikan Sambutan 10 Tahun Madrasah Ad Diniyyah Al Furqaniyyah (MADAF) serta Majlis Pecah Tanah Madrasah Lil Banat di Kampung Ranggu, pada Ahad, di sini.
Nizam menegaskan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sentiasa prihatin terhadap keperluan sekolah agama Islam, termasuk meningkatkan peruntukan tahunan bagi tujuan operasi dan pembangunan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengetua MADAF, Ustaz Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Ustaz Tahang, atas kesungguhan membangunkan madrasah sejak penubuhannya pada 2016 sehingga berjaya melahirkan ramai imam, pendakwah dan da’i.
Mengenai Madrasah Lil Banat, Nizam berkata penubuhan khas untuk pelajar perempuan itu penting bagi memperluas akses pendidikan agama di Tawau, sekali gus melahirkan generasi Muslimah berilmu dan berakhlak.
“Dalam dunia penuh cabaran hari ini, anak-anak kita perlu dibimbing dengan pendidikan agama agar menjadikan Rasulullah SAW sebagai panduan hidup. Dengan ilmu agama, mereka mampu memberi manfaat lebih besar kepada masyarakat,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri ulama terkenal, Al Alim Al Arif Billah Sayyidi Syeikh Ahmad Al Hadi Al Hasani At Tijani, yang menyampaikan tausiah mengenai tujuan hidup manusia dalam membina iman dan amal sebagai bekalan akhirat.
— TAMAT

























Add Comment