BANDAU – Gagasan Rakyat Bandau kini mempunyai 121 cawangan dengan keahlian hampir 5 ribu orang, demikian dinyatakan dalam Taklimat Khas oleh Ketua Bahagian Datuk Maijol Mahap.
Taklimat ini bertujuan untuk memberikan penerangan mengenai tatacara mesyuarat penubuhan cawangan dan sayap-sayapnya yang akan berlangsung pada bulan Ogos nanti.
Dalam taklimat tersebut, Maijol turut menggesa supaya setiap cawangan memberikan penerangan kepada ahli tentang kebaikan dasar dan program kerajaan. Beliau juga menyeru agar cawangan aktif untuk menambah keahlian.
“Sasaran keahlian menjelang PRN akan datang ialah 10 ribu orang. Ianya tidak mustahil untuk dicapai kerana borang keahlian parti kita begitu laris.
“Justeru itu saya meminta supaya setiap cawangan bekerja keras dalam rangka persediaan menghadapi PRN akan datang”, kata Maijol.
Mengenai pelancaran parti Gagasan Rakyat Bandau, Maijol berkata secara tentatifnya ianya akan diadakan pada bulan Oktober namun tertakluk kepada kelapangan masa perasmi iaitu YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Gagasan Rakyat.
Dalam pada itu, agenda mesyuarat bahagian yang telah diadakan sebelum itu di Hotel Hexan antara lainnya adalah penyerahan sijil perlantikan kepada pengerusi-pengerusi biro dan penerimaan Ahli Jawatankuasa sayap-sayap bahagian yang baru dilantik.
Turut hadir dalam Taklimat Khas tersebut ialah Timbalan Ketua Bahagian Sharif Kadah Sharif Osman, semua AJK Bahagian, Ketua Pemuda Ustaz Farid Liman, Ketua Beliawanis Dr. Nur Nadirah Mohd Isahak, Timbalan Ketua Wanita Puan Jaimah Angai, AJK sayap-sayap bahagian dan Ketua Cawangan.
-TAMAT-
Add Comment