BANDAU,- Datuk Maijol Mahap, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat N6 Bandau, telah merasmikan Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Hariraya Aidiladha bersama ahli AIM Blok Tanjung Batu di Kampung Taritipan kelmarin.
Ketika berucap di Majlis Perasmian, Maijol menyatakan bahawa AIM adalah satu program yang baik untuk rakyat bagi memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan modal permulaan dari AIM. Beliau juga gembira dengan kejayaan AIM menghasilkan para usahawan bumiputera yang berjaya khususnya di Blok Tanjung Batu.
Pada masa yang sama, beliau menyeru agar peserta AIM terus memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan GRS dibawah YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor selaku Ketua Menteri Sabah.
“Kerajaan GRS adalah kerajaan yang prihatin terhadap rakyat dan sentiasa menjaga kesejahteraan hidup rakyat Sabah.
“Justeru itu, untuk menikmati pembangunan yang berterusan dan demi masa depan rakyat, marilah kita bersama mengembalikan kerusi DUN Bandau ke pangkuan kerajaan pada PRN akan datang”, kata Maijol.
Menurut beliau lagi, Gagasan Rakyat di Bandau mendapat sambutan hangat dikalangan rakyat dengan penubuhan cawangan di setiap kampung.
“Penubuhan banyak cawangan akan memperkukuhkan kedudukan parti kita di Bandau”, tambah Maijol lagi.
Dalam majlis yang sama juga, Datuk Maijol menerima borang keahlian Gagasan Rakyat daripada Cawangan Taritipan Bakau.
Turut hadir dalam majlis hari ini ialah AJK Bahagian Gagasan Rakyat Bandau yang terdiri daripada Ustaz Mohd Isahak Bin Awang, Abdul Rashad Bin Osman, Jenol Bin Jaralin dan Sakiran Bin Madarin serta OKK Mohammad Bin Mahmat, Ketua Daerah Kota Marudu dan KK Sulong Bin Kondong, Ketua Kampung Taritipan.
-Tamat-
Add Comment