KOTA KINABALU: Mangsa bencana di Sabah akan menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) antara RM1,000 hingga RM10,000 sebagai langkah meringankan beban akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa daerah.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan menerima bantuan tunai sebanyak RM1,000, manakala waris mangsa yang terkorban akan diberi BWI kematian sebanyak RM10,000.
“BWI hanya disalurkan kepada warganegara Malaysia yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA). Selain itu, kerajaan turut menyalurkan bakul makanan kepada semua penduduk terjejas,” jelas JPBN.
Kerajaan negeri bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk mempercepatkan penyaluran bantuan kewangan, penyediaan Jambatan Bailey, serta pelbagai bentuk sokongan logistik lain bagi memastikan pengurusan bencana berjalan lancar.
JPBN turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa tempatan bersama agensi berkaitan kini giat melakukan pemantauan, menyalurkan bantuan dan menyelaras koordinasi logistik bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa sentiasa terjamin.
“Semua agensi penyelamat dan pasukan tindak balas di bawah JPBN Sabah telah digerakkan sepenuhnya bagi menangani bencana alam yang sedang melanda negeri ini,” kata kenyataan itu.
— TAMAT

























Add Comment