Home » BigSabah Sale perkukuh ekonomi dan Kedudukan Sabah di peringkat serantau
Berita GRS Politik

BigSabah Sale perkukuh ekonomi dan Kedudukan Sabah di peringkat serantau

Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyempurnakan perasmian BigSabah Sale di Kota Kinabalu, yang menghimpunkan pempamer tempatan dan antarabangsa bagi memperkukuh jaringan perdagangan Sabah di rantau Asia-Pasifik.

KOTA KINABALU: Inisiatif BigSabah Sale terus membuktikan peranannya sebagai platform strategik dalam memperluas akses pasaran, mengukuhkan kedudukan Sabah dalam perdagangan serantau serta membuka ruang baharu ke arah keterlibatan global.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata program seperti BigSabah Sale bukan sekadar acara promosi komersial, tetapi turut berfungsi sebagai jambatan perdagangan yang memperkukuh hubungan ekonomi Sabah dengan BIMP-EAGA serta koridor Asia-Pasifik.

“Kerajaan negeri amat menghargai kerjasama semua pihak industri yang telah membantu memperluas perdagangan, mengembangkan pasaran dan membangunkan perniagaan tempatan.

Kehadiran pempamer antarabangsa dan pembeli dari luar negara kali ini mencerminkan keyakinan global terhadap potensi Sabah sebagai pintu masuk perdagangan serantau,” katanya dalam ucapan perasmian BigSabah Sale di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Hajiji berkata, BigSabah Sale mencerminkan kemajuan pesat ekonomi Sabah melalui penglibatan aktif perusahaan tempatan dan kolaborasi industri yang menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan mampan dan dinamik negeri ini.

Katanya, melalui inovasi, kelestarian dan kerjasama strategik, Sabah kini sedang berubah menjadi destinasi pelaburan bernilai tinggi yang semakin menarik minat pelabur antarabangsa.

“Saya menggalakkan semua pempamer, usahawan dan pelabur untuk memanfaatkan peluang ini sepenuhnya , bentuklah kerjasama baharu, terokai ekosistem produk baharu dan gerakkan idea inovatif yang mampu membawa Sabah ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengiktiraf acara seperti BigSabah Sale sebagai pemangkin aktiviti ekonomi dan sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk menjadikan Sabah hab perdagangan dan acara perniagaan utama di rantau ini.

Sebagai langkah memperkukuh ekosistem tersebut, kerajaan menubuhkan Sabah Convention Bureau (SCB) pada November 2022 bagi meningkatkan keupayaan negeri dalam sektor mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

“Melalui kerjasama dengan pemain industri, SCB berperanan menarik program industri berskala besar dan meningkatkan keterlihatan Sabah dalam landskap acara global,” jelasnya.

Menurut Hajiji, acara seperti BigSabah Sale bukan sahaja menjana aktiviti ekonomi dalam sektor hospitaliti dan runcit, malah turut memberi limpahan kepada logistik, pertanian, teknologi dan pembuatan, di samping memperkukuh rantaian bekalan tempatan serta pembangunan bakat.

Edisi tahun ini menyaksikan penyertaan 13 buah negara, termasuk Brunei, Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura, China, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan, India, Turki, Mesir dan Pakistan, yang memperkukuh kedudukan Sabah sebagai pusat dagangan antarabangsa yang semakin berkembang pesat.

— TAMAT