Home » BuAI pacu pemerkasaan wanita, perlu perluas ke seluruh Sabah: Juliah
Mutiara GRS Politik

BuAI pacu pemerkasaan wanita, perlu perluas ke seluruh Sabah: Juliah

KENANGAN: Juliah merakamkan gambar bersama penerima sumbangan yang terdiri daripada badan-badan kebajikan kanak-kanak di daerah Beluran, sempena program ini.

BELURAN: Pendekatan pelbagai disiplin yang diterapkan melalui Program Bantuan IUI Advokasi Infertiliti (BuAI) disifatkan sebagai inisiatif berimpak tinggi yang wajar diperluaskan ke seluruh negeri kerana memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat, khususnya golongan wanita.

Isteri Ketua Menteri Sabah merangkap Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag berkata, program ini amat baik kerana tidak hanya tertumpu kepada isu kesuburan semata-mata, tetapi turut merangkumi pelbagai aspek penting dalam kehidupan berkeluarga dan kemasyarakatan.

“Program ini menekankan aspek menyeluruh termasuk kesihatan wanita, pengurusan kewangan keluarga, terapi minda, pengetahuan asas CPR dan tindakan awal menghadapi kebakaran. 

“Ini adalah pendekatan menyeluruh yang selari dengan aspirasi Dasar Keluarga Negara yang menekankan kesejahteraan fizikal, mental dan sosial sebagai tonggak pembangunan masyarakat Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Santuni Kasih: Dari Keluarga untuk Komuniti, sempena pelaksanaan Program BuAI bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk, yang berlangsung di Dewan Masyarakat Beluran, di sini, pada Selasa.

Menurutnya, usaha pelbagai pihak dalam menjayakan program ini mencerminkan semangat kolaboratif yang harus menjadi contoh dalam pelaksanaan program-program intervensi sosial di peringkat akar umbi.

“Dengan menggabungkan pelbagai elemen penting, peserta program ini tidak hanya memperoleh ilmu berkaitan kesihatan seperti kanser dan bantuan subsidi kerajaan, tetapi turut dilatih dengan kemahiran asas yang amat berguna dalam kehidupan seharian.

“Saya berharap program ini diperluaskan ke seluruh daerah dan menjadi model intervensi sosial yang berimpak tinggi. Semoga setiap peserta bukan sahaja membawa pulang ilmu, tetapi juga semangat untuk menyantuni keluarga dan masyarakat dengan lebih prihatin serta bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Juliah turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan komitmen serta kerjasama dalam menjayakan program ini, terutamanya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sabah yang telah menggerakkan program ini buat tahun keempat berturut-turut.

“Kerjasama erat antara pelbagai pihak bukan sahaja menyokong inisiatif memperkasa wanita dan keluarga, malah turut membantu merealisasikan kesejahteraan rakyat di Sabah. Saya bagi pihak MUTIARA GRS sangat menghargai usaha ini sebagai wadah menyantuni rakyat secara inklusif,” katanya.

— TAMAT

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment