Home » Cadangan Taman Perindustrian Antarabangsa Sabah bernilai RM10 bilion 
Uncategorized

Cadangan Taman Perindustrian Antarabangsa Sabah bernilai RM10 bilion 

Hajiji (tujuh kanan) bergambar bersama Maijol (empat kiri) dan wakil Kina Ventures dan pelabur Taiwan yang hadir pada kunjungan itu.

KOTA KINABALU: Cadangan pembinaan Taman Perindustrian Antarabangsa Sabah di Kimanis dengan nilai RM10 bilion bakal melibatkan kerjasama di antara kerajaan negeri, syarikat tempatan dan pelabur dari Taiwan.


Syarikat tempatan Kina Ventures Sdn Bhd dan kumpulan pelabur dari Taiwan merancang untuk bekerjasama membina Taman Perindustrian Antarabangsa Sabah berkenaan dengan melibatkan kawasan seluas 20,000 ekar.


Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor diberi taklimat mengenai perkara itu semasa kunjungan hormat delegasi Kina Ventures bersama pihak pelabur Taiwan yang diketuai Pengerusi Kina Ventures Datuk Maijol Mahap di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini Isnin lepas.


Menerusi taklimat itu, beliau diberi penerangan mengenai keseluruhan pembangunan berkenaan apabila siap akan mempunyai unjuran nilai pembangunan kasar akhir kira-kira RM200 bilion.


Selain itu, lebih puluhan ribu peluang pekerjaan dan perniagaan akan diwujudkan untuk rakyat tempatan dengan hasil cukai jangka panjang yang lumayan kepada kerajaan negeri.


Taman perindustrian yang dicadangkan itu juga bertujuan agar pelabur tempatan dan antarabangsa dapat menubuhkan kilang pembuatan dan pemprosesan, kedai serta pejabat bersama dengan dataran komersial dan pembangunan kediaman.


Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pelabur datang dan melabur di Sabah selaras dengan dasar mesra pelabur negeri ini.


Turut hadir, Pengarah Urusan Kina Ventures Herman S K Lee, Melvin Lee, dan Rachel Lee; Presiden Dewan Perniagaan Besar Hakka Taiwan Yeh Chun-Hui; Presiden Kehormat Dewan Perniagaan Besar Hakka Taiwan Yeh Chun-Rong serta beberapa wakil pelabur dan perunding projek Taiwan.

— Siti Aisyah Narudin