TAWAU:Badan bukan kerajaan (NGO), persatuan atau individu yang ingin menganjurkan aktiviti di kawasan awam diingatkan supaya mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan setiap program dilaksanakan secara teratur dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Menurut beliau, kegagalan mematuhi prosedur yang ditetapkan berpotensi menimbulkan pelbagai masalah termasuk salah faham serta pertelingkahan dalam kalangan orang awam.
“Saya berharap mana-mana NGO, persatuan ataupun individu yang ingin menganjurkan aktiviti seperti sukan atau apa juga program supaya mendapatkan kebenaran daripada PBT serta memaklumkan kepada PDRM.
“Kita tidak mahu ada perkara yang berlaku di luar kawalan sehingga boleh menimbulkan perselisihan faham, pertelingkahan atau pergaduhan yang akhirnya mengganggu ketenteraman masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Infak Ihya’ Ramadan 6.0 anjuran Pertubuhan Pembangunan Islam Sabah (IDEAS) bersama Armada Group of Companies dengan kerjasama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tinagat di sini, semalam.
Dalam pada itu, Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas melahirkan rasa dukacita terhadap kejadian pergaduhan yang berlaku di Bazar Ramadan Sabindo baru-baru ini dan tular di media sosial.
Menurutnya, kejadian sedemikian amat dikesali kerana berlaku ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan yang sepatutnya dipenuhi dengan amalan ibadah serta pengukuhan silaturahim.
“Saya amat dukacita apabila dimaklumkan mengenai kejadian pertelingkahan atau pergaduhan yang berlaku pada bulan Ramadan yang mulia ini.
“Bulan ini sepatutnya masa untuk kita memperbanyakkan ibadah serta mengeratkan silaturahim sesama masyarakat, bukannya mencetuskan pergaduhan yang boleh mencacatkan keharmonian komuniti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa khususnya PDRM dan PBT terus memantau aktiviti yang dijalankan agar semuanya mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas tindakan pantas mengesan individu yang terlibat dalam insiden berkenaan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM atas tindakan pantas mereka menjejaki individu yang terlibat dan membawa mereka ke muka pengadilan agar kejadian seperti ini menjadi pengajaran kepada semua pihak,” katanya.
Sementara itu, dalam program sama, seramai 100 golongan asnaf terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan anak yatim menerima sumbangan wang tunai, kurma serta juadah berbuka puasa.
Pengerusi IDEAS merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Armada Group of Companies, Mohd Shannon Basir, berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu telah memasuki tahun keenam penganjurannya bagi membantu golongan memerlukan.
“Seramai 100 asnaf menerima bantuan pada kali ini bagi membantu menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri mereka,” katanya.
Menurut beliau, IDEAS dan Armada Group turut aktif melaksanakan pelbagai program kebajikan sepanjang tahun termasuk membantu rumah ibadat serta institusi kebajikan lain.
“Kita juga sering bekerjasama dengan pemimpin masyarakat terutamanya wakil rakyat seperti Datuk Nizam serta agensi kerajaan lain bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

























Add Comment