KOTA KINABALU: Dakwaan pemimpin WARISAN bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan meninggalkan Perdana Menteri sekiranya berlaku pergolakan politik adalah tidak berasas.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pemimpin berkenaan tidak wajar membuat dakwaan karut dan jahat.
“Hakikatnya, merekalah mempunyai niat tidak mahu menyokong mana-mana parti atau pemimpin nasional, atas sebab itu, mereka memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapanm (PH) dan telah bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Keputusan parti itu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan, pada hakikatnya kerana mereka tiada pilihan lain, atas sebab hanya mempunyai tiga ahli Parlimen.
“Menyokong atau sebaliknya, ia tidak memberi kesan kepada kerajaan perpaduan antara PH, BN, GPS dan GRS,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, jangan cuba menutup kesalahan sendiri dengan menuding kepada parti lain, kenyataan pemimpin berkenaan juga hanya sekadar andaian sahaja.
Katanya, sokongan kerajaan negeri dibawah pimpinan GRS dan PH Sabah kepada Perdana Menteri bukti tidak wujud tindakan khianat seperti yang dinyatakan.
“Janganlah kerana pemimpin dan parti sendiri mempunyai niat jahat, maka mengandaikan pemimpin dan parti lain juga sama,” katanya.
— Yap Siong Han
Add Comment