Kota Kinabalu: Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe, berkata parti itu kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Sabah, di tengah-tengah perbincangan yang sedang berlangsung antara parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk menangani perkembangan politik semasa.
“Kami mengadakan perbincangan panjang pada 12 Januari lalu untuk merancang hala tuju dan menyelesaikan cabaran semasa dalam pakatan,” katanya, sambil menambah, mesyuarat itu membabitkan empat pemimpin dari DAP Sabah, PKR, Amanah, dan Upko.
“Kami perlu sangat berhati-hati dalam membuat keputusan kerana ia akan memberi implikasi. Adalah penting untuk mengekalkan perpaduan PH sebelum menangani perkara-perkara lain,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAPSY dan Wanita DAP Sabah 2025, pada Ahad.
Beliau berkata walaupun DAP Sabah mempunyai autonomi dalam membuat keputusan tanpa memerlukan kelulusan daripada Setiausaha Agung parti, Anthony Loke, mereka mesti mempertimbangkan pendirian pakatan, terutamanya pendirian jelas PKR untuk menyokong Kerajaan Sabah sehingga tamat penggal dan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah.
“Bagaimana saya boleh kata saya mahu keluar dan pada masa sama PKR kekal dalam kerajaan? Kami mempunyai tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan rakyat mahu kami berada dalam parti yang memerintah,” kata Phoong, merujuk kepada mandat yang diterima pada 2022 apabila rakyat memilih PH sebagai sebahagian daripada Kerajaan Madani.
Untuk lebih memahami sentimen awam, beliau berkata DAP Sabah sedang melakukan jelajah untuk bertemu pengundi dan mengumpul maklum balas.
“Kita perlu bertemu dengan rakyat, kita perlu mengumpul pandangan dan idea daripada mereka,” katanya.
Ketika mengakui bahawa keputusan mungkin disemak dari semasa ke semasa bergantung kepada konteks dan faktor-faktor berbeza, Phoong yang juga Menteri Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, berkata beliau kekal sebagai menteri dan DAP terus menjadi sebahagian daripada Kerajaan Sabah.
Ditanya mengenai pendirian DAP Sabah terhadap rasuah dan bekerjasama dengan mereka yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah, beliau berkata mereka terus menilai hala tuju masa depan mereka berdasarkan hasil siasatan dan sentimen awam.
“Kami perlu melihat dahulu sebelum membuat keputusan. Sebagai parti yang datang dari rakyat, kami akan mendengar pandangan rakyat,” katanya.
“Kami tidak akan berkompromi mengenai rasuah. Itu sangat jelas,” tambahnya, sambil menekankan kepentingan menunggu keputusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum membuat keputusan.
Mengenai jelajah DAP Sabah, beliau berkata jelajah yang dilancarkan semasa persiapan Tahun Baru Cina itu sudah pun meliputi Lahad Datu, Keningau, Tenom dan Gaya Street di Kota Kinabalu.
“Saya akan pergi ke Sandakan, Tawau dan Papar seterusnya. Kami akan pergi ke mana sahaja cawangan kami berada sebelum kembali ke Keningau untuk menamatkan jelajah,” katanya.
“Setiausaha Agung parti telah memberi saya mandat untuk membuat keputusan mengenai kedudukan kami,” kata Phoong, menjelaskan tujuan jelajah tersebut untuk mengumpul maklum balas dari akar umbi.
“Kami melawat setiap cawangan untuk mendengar pendapat dan idea rakyat. Ia penting bagi kami sebagai parti untuk bekerja bersama dengan rakyat.
“Kami menerima respon positif sepanjang jelajah kami. Rakyat melihat kami sebagai parti yang rajin bekerja. Jadi, inilah penjenamaan kami.
“Keutamaan kami bukanlah jawatan. Apa yang paling penting ialah mengekalkan sokongan awam dan bekerja bersama dengan rakyat,” katanya.
Mengenai dinamik Pakatan Harapan (PH) Sabah, beliau berkata adalah penting untuk mengekalkan perpaduan dalam PH.
“Kami berharap kami di PH dapat berbincang lebih mendalam mengenai isu ini, kerana kami juga merasa bimbang, kerana ini adalah isu yang belum diselesaikan lagi.Ia akan menjejaskan perpaduan kami dalam PH.
“Apapun keputusan yang dibuat oleh DAP Sabah, mengekalkan keharmonian dalam PH adalah prasyarat, kerana kami adalah satu pakatan,” katanya.
Beliau juga mengulangi sokongan berterusan beliau kepada Datuk Ewon Bendick sebagai Pengerusi PH Sabah dengan berkata, “Keputusan ini dibuat melalui proses demokrasi berdasarkan perlembagaan kami. Kami tidak boleh mengubahnya.”
Mengenai sama ada telah ada perbincangan antara DAP Sabah dan PKR Sabah mengenai perkara ini, beliau berkata perbincangan produktif sedang berlangsung dengan rakan-rakan pakatan termasuk perbincangan dengan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.
“Kami telah mengadakan beberapa perbincangan. Saya juga sudah berbincang dengan Mustapha dan saya berterima kasih kerana kami dapat berbincang dengan cara yang sangat terbuka dan mesra,” katanya.
Mengenai pilihan raya Sabah yang akan datang, beliau berkata DAP Sabah komited untuk kepelbagaian dalam pemilihan calon.
“Kami akan mempertimbangkan lebih ramai calon wanita dan muda yang boleh menang.
“Dalam pilihan raya umum yang lalu, kami mencapai lebih 50 peratus perwakilan dan Jawatankuasa Negeri kami mempunyai 30 peratus perwakilan wanita yang memenuhi dasar parti kami,” katanya.
— Sherell Jeffrey
Add Comment