Home » Enakmen buka peluang pelaburan dalam pasaran karbon
Berita GRS Politik

Enakmen buka peluang pelaburan dalam pasaran karbon

Masidi mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor Sidang Kemuncak Perhutanan Mampan ASEAN 2025 di Shangri-La Tanjung Aru Resort, hari ini.

KOTA KINABALU: Kelulusan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah baru-baru ini telah membuka peluang kepada  Sabah untuk menarik pelabur kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

“Landasan undang-undang ini memberi keyakinan yang diperlukan oleh pelabur. Tetapi  peluang yang lebih besar terletak dalam kerjasama ASEAN. Untuk memperkembangkan  ruang ini, kita memerlukan pasaran karbon serantau yang berfungsi. 

“Itu bermakna taraf yang seragam, penjajaran peraturan dan pengiktirafan bersama kredit  karbon rentas sempadan. Sistem yang berpecah-belah hanya akan melambatkan  pelaburan. 

“Negeri Sabah bersedia bekerjasama dengan negara-negara ASEAN lain untuk  menggerakkan agenda ini ke hadapan. Hutan kita sudah pun memainkan peranan mereka.  Kini rangka kerja perlu seiring,” katanya semasa Sidang Kemuncak Perhutanan Mampan  ASEAN 2025 di Shangri-La Tanjung Aru Resort, hari ini. 

Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun. 

Hajiji berkata Enakmen tersebut menubuhkan Majlis Tindakan Iklim Sabah, Tabung Iklim,  inventori pelepasan karbon peringkat negeri dan satu kerangka perkongsian manfaat,  khususnya kepada komuniti pribumi. 

“Hak karbon kini telah disahkan sebagai milik Kerajaan Negeri. Dan aktiviti berkaitan karbon  daripada kelulusan projek hingga perdagangan kredit kini akan ditadbir melalui struktur yang  jelas dan boleh dikuatkuasakan,” katanya. 

Ketua Menteri turut menegaskan bahawa Sabah kini merupakan sebuah bidang kuasa  dengan status penyerapan lebih banyak karbon berbanding yang dilepaskan. 

“Kita antara bidang kuasa di dunia yang memiliki status ini, dan dianggarkan bahawa  Sabah sahaja menyumbang kira-kira 36 peratus daripada jumlah keseluruhan  penyerapan karbon Malaysia. 

“Ini bukan sekadar penanda aras alam sekitar. Ia adalah aset ekonomi strategik. Dalam  dunia yang terhad karbon, ia merupakan kelebihan daya saing yang tidak boleh kita  abaikan,” katanya. 

Hajiji berkata sektor perhutanan adalah teras kepada ekonomi, alam sekitar dan masa  depan Sabah. 

“Di bawah pelan pembangunan Kerajaan Negeri, iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),  kita telah memasukkan perhutanan mampan ke dalam strategi pertumbuhan jangka  panjang. 

“Pada tahun 2022, kita memperkenalkan Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan,  satu pelan induk tempoh 15 tahun untuk memulihkan 400,000 hektar hutan terosot. Inisiatif  ini bukan sekadar penanaman semula pokok, ia bertujuan menjamin bekalan kayu yang  mampan, mewujudkan pekerjaan hijau, dan memperkukuh ekonomi luar bandar. 

“Untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, komitmen berterusan daripada pemegang lesen  Unit Pengurusan Hutan (FMU) amat diperlukan, disamping kerjasama erat dengan Jabatan  Perhutanan Sabah,” katanya. 

Sehubungan itu, Hajiji menggesa semua pemegang lesen FMU agar memenuhi  tanggungjawab mereka manakala Jabatan Perhutanan Sabah perlu memperkukuh  peranannya dalam memantau kemajuan dan memastikan pelaksanaan kekal di landasan. 

Apabila direalisasikan sepenuhnya, pelan ini dijangka menyumbang lebih RM11 bilion  kepada KDNK Sabah dan mewujudkan 40,000 pekerjaan di sepanjang rantaian nilai,  katanya. 

Beliau berkata sektor kayu kekal sebagai sektor strategik bagi Sabah, dengan hasil royalti  kayu meningkat kepada RM171 juta pada tahun 2024, dengan peningkatan RM16 juta  berbanding tahun sebelumnya. 

“Jumlah eksport juga menunjukkan peningkatan berterusan, terutamanya ke Jepun,  Amerika Syarikat dan Taiwan. Sasaran kita jelas iaitu mengurangkan kebergantungan  kepada hutan semula jadi dan memperluas pengeluaran kayu secara mampan berasaskan  ladang,” katanya. 

Dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa Sabah, sebagai pengeluar utama  minyak sawit mentah (CPO) di Malaysia, menyumbang lebih 25 peratus daripada  pengeluaran nasional, juga sedang menerajui kepimpinan dalam industri sawit. 

“Pada 2024, pengeluaran CPO Malaysia mencecah 19.3 juta tan – jumlah tertinggi dalam  tempoh enam tahun, dan permintaan global kekal kukuh. Kita memanfaatkan kelebihan ini  untuk menarik pelaburan dalam pemprosesan hiliran, biofuel dan inovasi berasaskan sawit. 

Kemudahan seperti Palm Oil Industrial Cluster di Lahad Datu dan Sipitang Oil and Gas  Industrial Park telah meletakkan Sabah sebagai hab bagi pembuatan tambah nilai dan  pembangunan biojisim, menjadikannya pemacu transformasi,” katanya. 

“Perhutanan dan iklim kini menjadi teras kepada strategi ekonomi bagi Sabah, Malaysia dan  ASEAN. Sidang kemuncak ini mencerminkan perubahan itu. Kita tidak lagi menganggap  kemampanan sebagai pilihan – ia kini merupakan asas kepada cara kita mencipta  pekerjaan, menarik pelaburan dan memperkukuh daya tahan,” katanya. 

Secara ringkas, Ketua Menteri menyatakan bahawa dengan undang-undang yang jelas,  institusi yang kukuh dan Pelan Hala Tuju SMJ sebagai panduan pelaksanaan, Sabah  berada dalam kedudukan terbaik untuk menyertai pasaran karbon. 

“Hutan dan komuniti kita telah pun memainkan peranan penting dalam penyerapan karbon,  perlindungan biodiversiti dan penggunaan mampan tetapi kita tidak mampu melakukannya  sendiri. 

“Kita mengalu-alukan mereka yang membawa modal, kepakaran dan kerjasama jangka  panjang dari ASEAN dan seluruh dunia. Laburlah di Sabah. Anda sedang melabur dalam  sebuah negeri yang stabil, strategik dan komited terhadap masa depan hijau,” katanya. 

Sidang Kemuncak ini dianjurkan bersama oleh Institut Strategik KSI, Asia Pasifik dan Kelab  Ekonomi ASEAN, dan menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin perniagaan dan pakar  alam sekitar dari seluruh Asia Tenggara untuk menangani keperluan mendesak bagi  kehutanan yang lestari dan ketahanan iklim. 

–Tamat

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment