Home » Fairuz sedia pertahan DUN Pintasan, tegas teruskan perjuangan anak muda
Berita GRS Politik

Fairuz sedia pertahan DUN Pintasan, tegas teruskan perjuangan anak muda

Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) , Datuk Fairuz Renddan

KOTA KINABALU:Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan, menegaskan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, selagi belum ada keputusan rasmi daripada kepimpinan tertinggi parti.

Menurutnya, DUN Pintasan mempunyai makna simbolik kepada perjuangan golongan muda di Sabah dan menjadi lambang kebangkitan generasi baharu dalam politik negeri.

“Selagi belum ada keputusan rasmi daripada Presiden, saya akan mempertahankan kerusi Pintasan. Bagi saya, DUN ini adalah obor perjuangan anak muda yang tidak boleh dipadam begitu sahaja,” katanya kepada media di sini.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi tersebut.

Fairuz menegaskan bahawa perjuangannya bukan berteraskan kepentingan peribadi, sebaliknya untuk menyempurnakan amanah pembangunan dan kesejahteraan rakyat yang telah dimulakan sejak penggal lalu.

“Saya tidak mengejar kerusi lain. Fokus saya adalah menyelesaikan isu-isu yang masih belum selesai di Pintasan. Lima tahun saya berkhidmat tanpa henti di sini, dan masih banyak keperluan rakyat yang harus diteruskan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kempen politik harus dijalankan secara matang, berasaskan agenda pembangunan rakyat, bukan serangan peribadi terhadap lawan.

“Saya percaya politik yang berhemah lebih membawa manfaat kepada rakyat. Kita perlu fokus kepada kerja dan hasil, bukan retorik,” ujarnya.

Fairuz turut menyenaraikan beberapa pencapaian sepanjang tempoh perkhidmatannya, termasuk menaik taraf hampir 80 peratus masjid dan surau di kawasan berkenaan, selain membantu membaik pulih rumah ibadat lain seperti gereja.

“Ketika saya mula menjadi wakil rakyat, kebanyakan kemudahan keagamaan dibina sejak tahun 1970-an. Kini, banyak yang telah diperbaharui bagi memastikan keselesaan semua komuniti,” jelasnya.

Pada PRN Sabah ke-16, Fairuz yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi DUN Pintasan dengan majoriti 84 undi.

Beliau kini dilihat sebagai antara wakil rakyat muda yang menjadi tonggak penting kepada usaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperkukuh sokongan generasi belia dalam politik negeri.

— TAMAT