Home » GRS terus jadi pilihan generasi baharu demi kestabilan dan masa depan Sabah
Berita GRS Politik

GRS terus jadi pilihan generasi baharu demi kestabilan dan masa depan Sabah

Ketua Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan, Ar-Rafi Yassin (kiri) bersama Daffri Adzahari (Bingkor) dan Shahrastani Harimin (Liawan)(kanan).

KENINGAU:Sokongan generasi muda Sabah terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semakin kukuh berikutan keyakinan mereka terhadap kemampuan gabungan itu menjamin kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan masa depan belia negeri ini.

Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bahagian Tambunan, Bingkor dan Liawan menyatakan bahawa kestabilan yang dibawa oleh GRS menjadi asas utama kemajuan Sabah, khususnya dalam memastikan peluang dan hak anak muda terus terpelihara daripada ketidaktentuan politik.

“GRS ialah satu-satunya gabungan yang memberi tumpuan menyeluruh terhadap pembangunan modal insan dan pendidikan anak muda,” kata Ketua Pemuda Gagasan Rakyat N.39 Tambunan, Ar-Rafi Yassin, bersama Ketua Pemuda Gagasan Rakyat N.40 Bingkor, Daffri Adzahari, dan Ketua Pemuda Gagasan Rakyat N.41 Liawan, Shahrastani Harimin, dalam satu kenyataan bersama di sini, hari ini.

Menurut mereka, pelbagai inisiatif kerajaan negeri seperti BUDI, BAGUS, SUKSES dan TVET Sabah membuktikan komitmen GRS dalam memperluas akses pendidikan dan latihan kemahiran bagi melahirkan belia berdaya saing di peringkat global.

Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan menambah 10 unit rumah khas untuk belia yang baru berkahwin di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai tahun depan — langkah yang memberi peluang kepada pasangan muda memulakan kehidupan dengan lebih stabil dan selesa.

Dalam aspek kebajikan, program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR) menyediakan bantuan kewangan RM300 sebulan selama setahun kepada 100,000 penerima layak, termasuk golongan muda.

Kerajaan juga memperkukuh ekosistem keusahawanan belia melalui skim SYABAS (Usahawan Belia Sabah) dan Outreach Usahawan Muda, yang menawarkan latihan, bimbingan mentor, serta bantuan geran permulaan sebanyak RM5,000 kepada usahawan muda yang layak.

Ar-Rafi berkata, pelaburan industri berimpak tinggi seperti SK Nexilis dan Sabah Oil & Gas Industrial Park (SOGIP) dijangka membuka ribuan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak muda, manakala penubuhan SMJ Energy Sdn. Bhd. memperlihatkan kesungguhan Sabah mengurus hasil minyak dan gas untuk manfaat rakyat sendiri.

“Anak muda memilih GRS bukan kerana slogan, tetapi kerana pelan pembangunan yang jelas dan realistik untuk masa depan Sabah,” katanya.

Sementara itu, Daffri menegaskan, belia perlu bijak menilai rekod prestasi dan dasar yang dibawa oleh GRS.

“GRS bukan sekadar bercakap tentang perubahan, tetapi telah membuktikan hasilnya melalui pelaksanaan dasar yang menyentuh terus kehidupan anak muda,” ujarnya.

Bagi Shahrastani pula, kestabilan politik menjadi prasyarat penting kepada kemajuan negeri.

“Politik yang tidak menentu hanya akan mengorbankan peluang dan masa depan generasi muda. GRS adalah pilihan terbaik untuk menjamin kesinambungan dan kesejahteraan Sabah,” katanya.

Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Sabah menegaskan komitmen mereka untuk terus memperjuangkan suara belia dalam setiap dasar dan pelan pembangunan negeri, serta menyeru golongan muda agar bersatu di bawah panji GRS demi kemajuan dan perpaduan Sabah.

“GRS kekal sebagai pilihan terbaik anak muda demi masa depan Sabah yang lebih progresif, stabil dan berdaya saing,” tegas kenyataan itu.

— TAMAT