Home » Fasa 1 DIIP, tiga Data Hub dilaksana lebih holistik
Uncategorized

Fasa 1 DIIP, tiga Data Hub dilaksana lebih holistik

Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menghadiri majlis pembukaan rasmi CelcomDigi Business Tech Week di sini hari ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan selesai melaksanakan Fasa 1 Inisiatif Kerajaan Digital bagi ‘Data Integration and Interchange Platform’ (DIIP) dan Tiga Data Hub iaitu ‘People Hub, Business Hub dan Geo Hub’.


Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ‘People Hub’ adalah pemboleh daya untuk kelancaran integrasi data merentas agensi melalui satu sumber asal yang sahih.


Katanya, usaha itu demi mencapai pendekatan perkhidmatan agensi kerajaan dengan lebih holistik dan berpaksikan rakyat.


Menurutnya, bagi memperkembangkan potensi penggunaan ‘Biz Hub’, kerajaan negeri memperkenalkan empat perkhidmatan atas talian.


“Ia termasuk BizSabah Portal untuk memberi maklumat keusahawanan bagi setiap daerah, Penilaian ‘Environment Social Governance’ (ESG) ‘Sustainability Assessment’ untuk golongan industri kecil dan sederhana (IKS), ‘Virtual Engagement Platform’ (VEP) untuk pepadanan perniagaan (B2B Matching), dan SabahTAMU untuk mempromosi dan merangsangkan pertumbuhan pasaran digital di Sabah.


“Geo Hub membolehkan pemetaan dan analisis geospatial bagi pelbagai tujuan dan pemantauan aktiviti dengan rujukan geospatial dan peta satelit. Fasa 1 bagi ‘DIIP’ dan ketiga-tiga ‘hub’ ini turut selasai dilaksanakan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis pembukaan rasmi CelcomDigi Business Tech Week di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.


Katanya, kerajaan negeri sentiasa komited dalam memantapkan penyampaian perkhidmatannya dengan mengukuhkan pentadbiran dan kelengkapan peralatan digital anggota perkhidmatan. 


Menurutnya, jentera kerajaan akan dipastikan terus bekerja dalam suasana 5A iaitu ‘Available At Anytime’, ‘Anywhere with Any Mobile Device’, serta akan memastikan pemasangan kemudahan WiFi di semua premis kerajaan dengan keselamatan siber kerajaan negeri sentiasa terjamin daripada pencerobohan dan penggodaman. 


Hajiji berkata, menerusi usaha itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) melalui Jabatan Perkhidmatan Komputer (JPKN) dan juga Sabah Net akan memastikan pendigitalan di negeri Sabah diperkembangankan secara konsisten melalui pelbagai perancangan dan program pendigitalan. 


Beliau berkata, JPKN akan terus membangunkan sistem aplikasi untuk agensi-agensi kerajaan negeri dan dijangkakan sebanyak 30 sistem aplikasi yang bercirikan ‘End-To-End’ akan dibangunkan.


Selain itu katanya, infrastruktur rangkaian internet di semua premis kerajaan akan terus dimantapkan dengan pemasangan talian jalur lebar selaras dengan perluasan pemasangan rangkaian gentian optik di seluruh negeri, serta akan merancakkan penggunaan solusi 
pengkomputeran awan (Cloud) selaras dengan ‘MyDigital Economy Blueprint’. 


“Manakala Sabah Net meneruskan kerja menaik taraf di semua 749 pejabat kerajaan negeri kepada rangkaian fiber dengan kelajuan minimum 100Mbps sehingga 2025.


“Pusat Data Sabah Net yang mempunyai kuasa kapasiti tinggi adalah pengehosan utama bagi aplikasi perkhidmatan kerajaan negeri.


“Bagi peningkatan keselamatan siber, Sabah Net meneruskan usaha dalam menaik taraf sistem keselamatan siber menggunakan teknologi yang terbaharu. Peningkatan ini akan memperkukuhkan perlindungan keselamatan siber agar kerajaan boleh beroperasi secara fleksibel di mana-mana sahaja,” jelasnya.


Hajiji berkata, Sabah Net akan berkolaborasi dengan pihak berkuasa dan pembekal perkhidmatan keselamatan siber yang berkaliber di Malaysia untuk menjadikan Sabah sebagai pusat pembangunan modal insan dalam bidang keselamatan siber.


Beliau berkata, Sabah Net turut menaik taraf portal layan diri untuk membolehkan pengguna kerajaan mengurus log masuk e-mel mereka dengan sendiri sepenuhnya, selain akan menjadi pusat sehenti untuk perkhidmatan pengkomputeran awan.


Menurutnya, dalam mempertingkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti perkhidmatan jalur lebar di Sabah, kerajaan negeri melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)akan menambah pembinaan menara baharu, penaiktarafan stesen pemancar sedia ada kepada 4G dan menaik taraf Pusat Internet Desa (PID) kepada Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDI). 


“KSTI juga akan memasang kemudahan internet teknologi satelit (VSAT) di 300 lokasi yang dikenal pasti tahun ini, manakala Kementerian Komunikasi dan Multimedia turut bersetuju untuk memasang 300 VSAT di Sabah di lokasi-lokasi yang tidak termasuk di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA).


“Kesemua perancangan serta program-program pendigitalan yang dilaksanakan kerajaan negeri ini adalah memastikan bukan sahaja dalam meningkatkan dan menambah baik sistem perkhidmatan awam negeri Sabah, malah sebagai pemangkin untuk mempercepatkan transformasi digital di negeri ini,” katanya.

Siti Aisyah Narudin