Home » Gagasan Rakyat perlu lebih siap siaga hadapai pilihan raya
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Gagasan Rakyat perlu lebih siap siaga hadapai pilihan raya

Ketibaan Naib Presiden Gagasan Rakyat Datuk Masiung Banah di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat bahagian Pitas disambut oleh Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pitas, Dato Sri Ruddy Awah di sini kelmarin.

PITAS: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) perlu bersiap siaga memulakan gerak kerja awal tanpa perlu menunggu saat akhir menjelang pilihan raya. 

Naib Presiden Gagasan Rakyat Datuk Masiung Banah berkata, walaupun tempoh pilihan raya masih berbaki lebih dua tahun, namun jentera parti di semua peringkat perlu digerakkan awal terutama di peringkat bahagian.

“Sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis perlu kreatif mengadakan program bersama parti-parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat bahagian Pitas, kelmarin.

Katanya, pilihan raya akan datang merupakan cabaran penting untuk tiga Sayap utama itu mendekati golongan muda.

Masiung berkata, Sayap Pemuda dan Beliawanis perlu lebih agresif menarik minat anak muda menyertai aktiviti politik.

“Usaha mendekati golongan muda perlu lebih kreatif dan bersepadu agar pendekatan berkesan dapat dilakukan.

“Hanya Sayap Pemuda dan Beliawanis memahami serta dapat menyelami cita rasa golongan muda ke arah mana minat mereka seperti kesenian, sukan, riadah atau majlis sosial,” katanya.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, dua Sayap utama parti itu juga wajar mendedahkan ilmu dan kemahiran ekonomi kepada generasi belia.

Sementara itu, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pitas, Dato Sri Ruddy Awah mahu ketiga-tiga Sayap parti itu menjalinkan hubungan kerjasama politik dengan parti-parti kompunan dalam GRS.

Beliau turut mengumumkan pemberian geran RM20,000 kepada setiap Sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis untuk melaksanakan aktiviti masing-masing.

— Yap Siong Han