Home » Gagasan Rakyat Petagas komited perkasakan parti
Uncategorized

Gagasan Rakyat Petagas komited perkasakan parti

Isquzawan turut menyeru kepada seluruh barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Bahagian Gagasan Rakyat Petagas yang baharu dilantik supaya terus memperkasa parti itu bagi mengharungi sebarang cabaran serta kemungkinan.

PUTATAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Petagas akan menggerakkan usaha-usaha bagi meningkatkan sokongan rakyat terhadap parti itu melalui pelbagai pendekatan bersesuaian, selari ‘selera’ semasa.


Ketua Penaja Bahagian Gagasan Rakyat Petagas, Mohd Isquzawan Israq Arsit berkata, usaha-usaha itu tidak mustahil dapat dilaksanakan kerana Gagasan Rakyat mempunyai kelebihan tersendiri berbanding parti lain.


Ini kerana Gagasan Rakyat merupakan sebuah parti tempatan yang dapat menentukan agenda dan halatuju sendiri mengikut cita rasa rakyat Sabah di peringkat akar umbi.


“Saya yakin parti ini (Gagasan Rakyat) akan menjadi sebuah parti yang dominan di negeri ini dan bukan sahaja itu, malah di Petagas sendiri kerana saya percaya rakyat mahukan sebuah parti yang dapat membuat resepi sendiri untuk rumah kita (Sabah), ” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Bahagian Gagasan Rakyat Petagas yang diadakan di salah sebuah hotel, dekat sini pada Rabu.


Turut hadir, Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi dan Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat Datuk Seri Dr Arsit Sedi.

ALBUM: Isquzawan dan AJK Bahagian Gagasan Rakyat Petagas merakamkan gambar kenangan bersama Razali sejurus menerima watikah pelantikan di majlis itu.

Dalam pada itu, Isquzawan turut menyeru kepada seluruh barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Bahagian Gagasan Rakyat Petagas yang baharu dilantik supaya terus memperkasa parti itu bagi mengharungi sebarang cabaran serta kemungkinan.


Katanya usaha memperkasa parti perlu diteruskan dan bukan bermusim kerana perjuangan itu mampu memberi impak signifikan kepada Sabah yang secara tidak langsung turut memberi manfaat kepada rakyat di akar umbi.


“Sebagai antara Ketua Bahagian yang ‘muda’ dalam parti, saya harap barisan Ahli Jawatankuasa Bahagian dapat memberikan sokongan padu kepada saya agar dapat membantu Presiden kita menjayakan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ).


“Marilah kita bersama-sama perkukuhkan Gagasan Rakyat Bahagian Petagas ini agar parti kita terus menjadi pilihan rakyat yang sentiasa berjuang untuk kepentingan Sabah dalam pelbagai aspek.


“Saya yakin dan percaya, gabungan diantara orang lama dan baru dalam barisan kepimpinan bahagian dapat memperkukuhkan lagi Gagasan Rakyat Bahagian Petagas dan pada masa sama menambat hati rakyat di negeri ini, untuk terus melangkah ke hadapan, ” katanya.
 

Kenneddy Corlleus