Home » Gagasan Rakyat Tambunan sasar 10,000 keahlian
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Gagasan Rakyat Tambunan sasar 10,000 keahlian

Victor menyampaikan ucapan di majlis perasmian Mesyuarat Cawangan Berkelompok Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan di sini baru-baru ini.
Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan kini mempunyai 53 cawangan berdaftar dengan 1,500 keahlian. Parti itu juga telah mengedarkan 4,500 borang keahlian baharu.

TAMBUNAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tambunan giat memperkasakan usaha menambah 10,000 keahlian di daerah ini.

Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan Datuk Victor P. Paut berkata, semua pemimpin cawangan parti berkenaan di sini perlu berusaha keras menggerakkan kempen penambahan ahli.

“Apa yang kita perlukan ialah seorang ahli sedia ada (telah berdaftar) untuk mendaftar sekurang-kurangnya 10 orang ahli baharu.

“Kita tahu bahawa ini tidak mudah tetapi tidak mustahil jika kita bersatu, berkerja keras  mengembleng tenaga bagi memastikan hasrat kita untuk mencapai 10,000 keahlian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian Mesyuarat Cawangan Berkelompok Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan di sini baru-baru ini.

Mesyuarat itu dihadiri 300 perwakilan dan disertai 100 orang pemerhati. Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan kini mempunyai 53 cawangan berdaftar dengan 1,500 keahlian. Parti itu juga telah mengedarkan 4,500 borang keahlian baharu. 

Victor menjelaskan kehadiran Gagasan Rakyat di Tambunan adalah bagi menguatkan lagi sokongan akar umbi kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihanraya akan datang.

“Sokongan yang sama juga diperlukan bagi menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor selaku Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi GRS,” katanya.

Katanya, walaupun masih ada lebih dua tahun sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan, persediaan awal bagi meningkatkan sokongan rakyat terhadap Gagasan Rakyat dan GRS perlu dilaksanakan dari sekarang.

Dalam pada itu, beliau menghargai kehadiran semua ahli jawatankuasa (AJK) Bahagian, AJK Sayap bahagian Wanita, Pemuda, Beliawanis, Ketua-Ketua Cawangan dan perwakilan yang hadir dalam mesyuarat berkelompok berkenaan.

“Ini menunjukkan komitmen kita dalam mengangkat perjuangan dan martabat parti serta menjayakan misi`Sabah Maju Jaya’ serta `Malaysia Madani,” katanya.

Dalam majlis itu, Victor juga menerima borang keahlian daripada empat cawangan baharu ditubuhkan iaitu Cawangan Tontolob Liwan, Libang Ulu, Tinompok Liwan, Tibabar dan Molout.

Turut hadir, Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan Mohd Yassin Yunus; Naib Ketua Bahagian Hussein Hassan; Setiausaha Bahagian Mohd Hajjaz Iqbal; Ketua Penerangan Abdul Rahim Yassin; Ketua Pergerakan Wanita Datuk Amelia Ajun; Ketua Pergerakan Pemuda Ar Rafi Yasin dan Naib Ketua Pergerakan Beliawanis Farah Trancisca Sylverster.

— Yap Siong Han

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment