Bismilllahirrahmanirrahim
Yang berusaha, Pengerusi Tetap
Yang berbahagia, Datuk Redonah Bahanda, Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat,barisan kepimpinan Wanita Negeri dan Bahagian serta para perwakilan yang saya muliakan
Assalammualaikum wbt, Salam Gagasan Rakyat, Salam Wanita Bangkit, Salam Wanita Hebat!
“Mangan nia mangan, asal kurung-kurung,
Biar tidak makan, asal kita berhimpun!”
“Cinta bukan sebarang cinta
Rela berkorban ke akhir hayat
Wanita bukan sebarang wanita
Ini Wanita Gagasan Rakyat!”
Saya, Nurul Fadzilah binti Noordin, Ketua Wanita N9 Tempasuk, berdiri di sini pada hari ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan kesedaran akan amanah yang digalas
Ucapan ini bukan sekadar cadangan di atas kertas tetapi cerminan suara akar umbi, denyut harapan wanita seluruh pelosok negeri, dan lambang kesungguhan kita dalam mengangkat martabat wanita ke tahap lebih tinggi dan sewajarnya
Sidang perwakilan, denakan-denakanku,
Kita semua sedia maklum bahawa sudah hampir sepenggal kerajaan GRS memegang tampuk pemerintahan negeri Sabah, di bawah kepimpinan hebat YAB Datuk Seri Panglima Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden parti kita
Walaupun GRS masih dianggap baharu berbanding pihak lain yang sudah lama memegang kuasa, tetapi mereka tidak boleh menafikan bahawa sudah banyak pencapaian yang dikecapi untuk rakyat Sabah
Sepanjang tempoh pemerintahan ini juga, pelbagai tohmahan,fitnah dan kata-kata hasutan dilemparkan,disebarkan oleh pihak lawan
Namun begitu, kerajaan GRS tetap fokus meneruskan agenda rakyat dan tidak pernah berhenti hingga saat ini.
Apa yang kerajaan GRS tidak buat untuk rakyat?
Bukan mahu membandingkan tetapi ini adalah fakta yang pahit ditelan oleh mereka termasuk yang sempat memerintah negeri Sabah ini selama 2 tahun lebih iaitu Parti Warisan
Apa yang Warisan bagi pada rakyat ketika rakyat dalam kesusahan?Apa yang Shafie cakap ketika dia menjadi Ketua Menteri?Dia bilang “Rakyat jangan mengharap bantuan kerajaan!”
Pemimpin jenis apa ini yang mempersoalkan bantuan kepada rakyatnya sendiri?Ini namanya haji bakhil!
Sesungguhnya pemerintahan era Warisan merupakan mimpi ngeri yang tidak boleh diulang lagi,mujurlah rakyat juga semakin sedar bahawa mereka ini cakap saja banyak tapi hasilnya, “nyaun”!”Aiso”!”Yillekkk!”
Jauhhhh beza dengan kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Hajiji pada hari ini, di mana pertumbuhan ekonomi negeri, pendapatan,rizab dan pelaburan semakin meningkat yang akhirnya dipulangkan kepada rakyat Sabah melalui insentif-insentif untuk semua golongan terutama miskin tegar, B40 dan anak-anak Sabah yang sedang menuntut di IPTA&IPTS dan baaanyak lagi
(Nyanyian)
“GRS memang terbaik
Rumah SMJ di sana sini
Subsidi tambang pelajar
BAKTI, SYABAS,SYUKUR alhamdulillah”
Jujurku akui Hajiji yang paling onsoi
GRS memang terbaik,GRS alap bana!”
Sebenarnya ada banyak lagi pencapaian kerajaan GRS yang tidak muat dalam satu lagu,nanti kita buat satu album biar menjadi tatapan sejarah anak-anak kita akan kecemerlangan kerajaan hari ini
Denakanku
Kita ada misi yang sangat penting, yang bakal menentukan nasib dan masa hadapan negeri ini kelak
Wanita Gagasan Rakyat bertekad untuk membantu membawa kemenangan dan mempertahankan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah
Berikrar menyokong penuh agar kepimpinan YAB Presiden kita, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dipertahankan habis-habisan , agar segala agenda pembangunan, perjuangannya membantu rakyat serta menuntut hak-hak negeri Sabah ini dapat diteruskan!
Ini janji kami Wanita Gagasan Rakyat!
Cukup mantap dasar-dasar kerajaan hari ini kepada negeri Sabah,kepada rakyat
Cuma…satu saja yang kurang.Apa dia kawan-kawan?
Kita kekurangan ahli Yang Berhormat ,ADUN di kalangan Wanita puan-puan
“Tak berseri taman tanpa bunga
Tak bererti dewan tanpa wanita
Kami meminta bukan mengada-ngada
Tanpa kerusi bagaimanalah kami bersuara”
(Nyanyian)
“Andai wanita terus dipinggirkan
Andai kami disisihkan
Namun kami tetap setia
Berjuang dan terus membela
Parti tercinta ini”
Kami wanita bukan mahu mengungkit, tetapi jasa wanita sama ada sebelum atau menjelang musim pilihanraya, PRU,PRN,PRK ,Wanitalah yang menjadi tonggak ,wanitalah di barisan hadapan, wanitalah menjadi akar tunjang kekuatan calon dan parti, setuju atau tidak???
Di sini, kami tidak mahu berbasa-basi lagi,
Kami wanita Gagasan Rakyat menuntut agar Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda ,yang merupakan kapten kepada 73 bahagian dan menjadi tonggak sayap pergerakan Wanita ini, agar diangkat menjadi calon di Bandau dalam Pilihanraya Negeri Sabah ke 17 ini!
Kami telah menyaksikan sendiri kecekalan dan kepimpinan Datuk Redonah dalam memperjuangkan hak wanita,menyantuni masyarakat,memperkukuh akar umbi dan menyatukan suara wanita
Maka, sekali lagi
Wanita Gagasan Rakyat berdiri teguh menyatakan pendirian,mengusulkan agar Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda diangkat sebagai calon utama wanita dalam PRN17
Suara wanita tidak boleh lagi dipandang ringan,kekuatan wanita tidak boleh lagi diperlekehkan,
Kami amat yakin dengan karisma dan kepimpinannya, Datuk Redonah bukan sahaja layak menjadi calon malah mampu menang besar pada pilihanraya ini!
(Pantun)
“Ikan sepat ikan kuruk
Masak ampap di tepi bendang
By hook or by crook
Datuk Redonah calon pasti menang!”
(Laungan)
“Menang,menang!Pasti menang!Datuk Redonah,pasti menang!”
Gagasan, Rakyat!Gagasan, Rakyat!
Denakanku…
Tidak lama lagi kita akan menghadapi satu peperangan paling hebat dalam sejarah iaitu Pilihanraya Negeri Sabah ke-17
Bahangnya semakin terasa di seluruh negeri malah semakin panas kerana dengar-dengarnya ada pihak dari parti seberang sedang cuba “mencubuk-cubuk” kerusi yang sedang disandang oleh GRS,termasuk di kawasan yang saya wakili iaitu Tempasuk
Sejarahnya Tempasuk ini, sebuah bumi yang pernah menjadi saksi kepada keberanian masyarakat pribumi dalam mempertahankan tanahnya dari ancaman luar
Kali ini, sekali lagi bumi Tempasuk menerima “ancaman” dalam versi moden
Izinkan saya berkongsi sedikit di sini, seperti yang kita sedia maklum,DUN Tempasuk ketika ini disandang oleh Yang Berhormat Datuk Mohd Arsad Hj Bistari yang juga merupakan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tempasuk
Walaupun baru sepenggal , YB Arsad telah banyak mencurah bakti kepada masyarakat di kawasan tanpa mengira bangsa,agama dan ideologi politik
Maka kerana itu Tempasuk mesti dipertahankan tidak kira apa rintangan menghadang sekali pun, agar YB Datuk yang mewakili GRS dapat meneruskan agenda pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan.
Saya yakin situasi ini bukan hanya di Tempasuk tetapi juga DUN lain yang disandang ADUN-ADUN Gagasan Rakyat seperti Pantai Dalit,Pintasan dan lain-lain
Denakannnn..
Saya mahu tanya, adakah kita akan menyerah begitu sahaja?
Adakah kita akan biarkan negeri kita diatur oleh mereka?
Kami, Wanita Gagasan Rakyat ingin menegaskan, Tempasuk bukan gelanggang percubaan parti seberang, Sabah bukan boneka dalam percaturan politik pusat!
Kita tidak sekali-kali akan tunduk!
Sabah ini negeri bermaruah, bumi penuh kaya dan rahmat, kalau bukan kita yang jaga rumah kita sendiri, siapa lagi?”
(Pepatah Bajau)
“Baya ni matai entorong bujak
Daa matai tinindak-tindak
Biar mati di hujung tombak
Jangan mati maruah dipijak-pijak!”
Sidang perwakilan yang saya hormati,
Denakanku kinasih,
Hari ini, kita telah nyatakan dengan jelas pendirian dan tuntutan Wanita Gagasan Rakyat.
Kita bukan lagi hanya penyokong di belakang, tetapi pejuang di barisan hadapan.
Kita bukan sekadar pelengkap yang meramaikan angka dalam majlis, tetapi kita adalah penggerak utama kekuatan parti!
Wanita Gagasan Rakyat sudah bersedia.
Bersedia mempertahankan kerajaan yang ada, bersedia berjuang di gelanggang pilihanraya,
Dan paling penting – bersedia untuk diangkat ke posisi pembuat dasar,
agar suara wanita benar-benar didengari dan dihormati
Maka marilah kita melangkah keluar dari dewan ini hari ini,
Dengan semangat membara,
Demi Sabah tercinta, demi martabat wanita, demi generasi pewaris bangsa
(Laungan)
Ayuh, sama-sama kita laungkan
“Rumah kita,kita jaga!”
“Rumah kita,kita jaga!”
“Wanita,bangkit!Wanita,bangkit!
Gagasan, Rakyat!Gagasan,Rakyat!
Gagasan,Rakyat!
Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
* Cik Nurul Fadzilah binti Noordin merupakan Ketua Wanita bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tempasuk.Beliau merupakan salah satu pembahas usul di Persidangan Agung Tahunan 2025 (PAT 2025) Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah

























Add Comment