Wasalatu wasalamu ‘ala asyrafil anbiya’i wal mursalin, Sayyidina Muhammadin wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Rabbiish rahli sodri,Wayassirli amri, Wahlul ‘uqdatan min lisani,Yafqahu qawli.
Lembayung kinabalu menyinar terang,
Dedaun rimba menari perlahan,
Wanita unggul jiwa gemilang,
Menjulang bangsa penuh harapan.
Mekar mawar di taman hati,
Harum semerbak mewangi indah,
Langkahmu wahai srikandi sejati,
Mengukir sejarah penuh barakah.
MUKADIMAH
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera,selamat pagi Salam Sabah Maju Jaya Salam perjuangan,
Rumah Kita, Kita Jaga
Ketua Wanita PGRS YB Datuk Redonah Bahanda
Naib Ketua Wanita PGRS Datuk Aziah Atoh
dan seluruh barisan AJK Pergerakan Wanita PGRS Rakan-rakan panel pembahas,
Para perwakilan, iaitu pejuang-pejuang wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah dari seluruh pelusuk negeri yang teguh berdiri di barisan hadapan,memperjuangkan suara rakyat dengan iltizam dan semangat juang yang tinggi.
Dengan penuh rasa Syukur dan semangat membara,saya berdiri di hadapan para perwakilan Wanita dari seluruh pelusuk negeri Sabah untuk sama sama menyatakan kebenaran bahawa Wanita PGRS bukan calang-calang kehebatannya yang sentiasa kental jiwanya walau saat badai datang menggugah.
Izinkan saya memulakan bicara pagi ini dengan kalimah penuh makna: “Di
sebalik kejayaan sesebuah bangsa, ada wanita yang tidak pernah gentar melangkah.”
Wanita bukan hanya sekadar insan lembut yang mendodoi anak dan menyusun juadah di meja tetapi wanita adalah api semangat yang menyala di balik tabir dunia yang tidak pernah padam meskipun ditiup badai.
Izinkan saya berbicara dari hati seorang wanita, yang tidak punya apa-apa,melainkan semangat yang menyala, untuk melihat bangsanya mulia,negaranya gagah berdiri,dan agamanya dijulang tinggi.
Hari ini, kita bukan hanya berhimpun dalam persidangan,tetapi kita sedang menghimpun azam dan tekad untuk menggempur cabaran yang semakin menduga, untuk melakar sejarah yang akan dikenang anak cucu kita bahawa wanita GRS, bukan pelengkap majlis,tetapi tulang belakang perjuangan sebuah parti.
WANITA: TUNJANG KEKUATAN SEBUAH KELUARGA DAN
MASYARAKAT
Analogi mudah, namun cukup bermakna. Setiap rumah ada sebuah pelita. Pelita itu adalah ibu. Dan setiap ibu itu, adalah wanita.
Dan setiap wanita adalah cahaya –yang mampu menerangi rumah tangga, membentuk akhlak anak bangsa, dan memberi harapan kepada sebuah negara.
Setiap keluarga pasti memiliki seorang insan yang Istimewa iaitu ibu. Ibu bukan hanya mendidik, tetapi mentarbiah; bukan hanya membesarkan tetapi membangunkan keluarga.
Sentuhan ibu bukan sekadar belaian fizikal tetapi belaian jiwa yang mencorak nilai dan membina asas masyarakat. Di sebalik seorang anak yang berjaya, ada air mata seorang ibu yang tidak pernah putus berdoa,
Sentuhan seorang ibu,bukan hanya membasuh luka kecil di lutut anak-anak, tetapi mampu membasuh luka luka bangsa dengan kasihnya,dengan didikannya, dengan doanya yang tak pernah putus.
Maka jangan kita pandang kecil peranan wanita kerana dalam kelembutannya ada kekuatan,dalam sabarnya ada strategi, dan dalam diamnya ada kebangkitan.
WANITA ISLAM: PEJUANG AGUNG SEJAK ZAMAN RASULULLAH
Mari kita soroti sejarah Islam yang agung. Di medan perjuangan, wanita bukan sekadar penyokong di belakang tirai. Mereka berada di medan, berdiri Megah di barisan hadapan.
Mari kita soroti sejarah Islam yang agung tentang betapa unggulnya perjuangan seorang Wanita;
Lihatlah Saidatina Khadijah binti Khuwailid, Srikandi pertama yang mengorbankan harta, jiwa dan cinta demi Islam.
Tanpa dirinya, Rasulullah SAW tidak mungkin punya sandaran kukuh saat dihina dan diboikot.
Lihat pula Saidatina Aisyah RA, Bukan hanya isteri Nabi, tetapi ilmuwan unggul, guru kepada para sahabat.
Wanita ini menjadi rujukan dalam fiqh, hadis dan tafsir,menjadi inspirasi ilmuan sepanjang zaman.
Jangan lupa juga Nusaybah binti Ka’ab, Wanita yang berperisai, berdiri di medan Uhud, melindungi Rasulullah
dengan tubuhnya.
Apakah itu bukan lambang keberanian seorang Wanita?
WANITA PGRS: PEWARIS SRIKANDI, PEJUANG DEMOKRASI PARTI
Dan hari ini, semangat itu hidup dalam tubuh-tubuh wanita yang hadir pada persidangan kali ini. Wanita PGRS, kamu bukan sekadar pelengkap majlis atau penghias kempen.
Kamu adalah nadi gerakan politik yang mencorakkan dasar dan hala tuju masa depan.
Kamu wanita yang turun ke akar umbi, mendengar denyut nadi rakyat,memikul amanah tanpa konpromi, berpolitik bukan untuk nama,tetapi kerana cinta, cinta kepada bangsa, agama dan tanah air.
Rumah kita,kita jaga.
Wahai srikandi PGRS, bangkitlah dengan semangat juang yang membara!
Berderaplah langkah kalian di DUN masing-masing seperti langkah Nusaibah yang mengangkat pedang di medan Uhud.
Wanita dahulu tidak hanya menunggu perubahan –mereka mencipta perubahan! Kita adalah pewaris darah Siti Aisyah, ilmuwan yang disegani.
Di gelanggang perjuangan negeri kita yang tercinta ini, wanita PGRS harus mencipta legasi bukan hanya hadir untuk mengisi borang keahlian,tetapi hadir untuk memenangi hati rakyat,menjadi jentera, menjadi nadi,yang menggerakkan kemenangan DUN kita dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 yang bakal tiba.
Wanita bukan yang cantik di pandangan,tetapi yang gagah di pentas perjuangan. Wanita lah yang Celik isu,berdaya fikir dan berani bersuara, yang menjadikan politik bukab retoril semata tetapi wahana untuk memperjuangkan Nasib rakyat khususnya Wanita.
Ingatlah..pejuang wanita tidak tunduk kepada stereotaip,tidak tunduk kepada celaan bahawa politik itu keras dan kotor,kerana Wanita hadir bukan membawa kekotoran tetapi membawa harapan dan cahaya yan terang.
WANITA SEBAGAI AGEN PERUBAHAN, NADI PERJUANGAN, TULANG
BELAKANG KEMENANGAN
Wanita adalah agen perubahan, kerana wanita punya kekuatan untuk mempengaruhi keluarga masyarakat dan negara.
Wahai wanita PGRS, kamu bukan beban perjuangan, kamu adalah tulang belakang, jiwa dan nyawa perjuangan.
Kerana wanita punya kekuatan untuk mempengaruhi:
Mempengaruhi keluarga dengan nilai,
Mempengaruhi masyarakat dengan tindakan,
Mempengaruhi negara dengan perjuangan.
Wanita – Nadi Perjuangan, Tulang Belakang Kemenangan
Wanita bukan sekadar penyeri sidang,kita adalah nadi utama kemenangan pilihan raya.
Wanita bukan baharu bersedia tetapi telah cukup bersedia untuk hadapi PRN, mengadakan perjumpaan dan gerak kerja dengan
mengkaji pengundi di kawasan masing-masing.
Wanita bekerja diam-diam, tetapi hasilnya menggema seperti guruh di langit tenang. Mereka tidak perlu berdiri di atas pentas untuk dilihat, kerana hasil kerja mereka telah pun bersuara. Seperti mutiara di dasar lautan, tenang, tersembunyi, namun amat bernilai.
Kitalah jentera yang tidak kenal lelah.Kitalah yang turun dari rumah ke rumah,membawa risalah perjuangan,menyampaikan rakyat,mengangkat calon ke puncak kemenangan. suara
Di setiap DUN, wanita PGRS bangkitlah dengan penuh semangat. Kita adalah pasukan yang rajin, tabah, berani dan gigih. Biar panas terik, biar hujan lebat,langkah kita tidak pernah goyah.
Wanita yang mempunyai aspirasi hebat adalah Wanita yang menjadikan politik sebagai alat perjuangan bukan untuk diri semata-mata tetapi demi keluarga,bangsa,agama dan negeri tercinta.
Ingatlah, tangan yang mengoncang buaian,mampu menggoncang dunia.
Tangan yang menyuap nasi kepada anak-anak,adalah tangan yang sama menyusun strategi kemenangan.
BANGKITLAH WANITA, GENGGAM ASPIRASI PERJUANGAN
Hari ini, kita tidak boleh lagi duduk di tepi gelanggang. Sudah tiba masanya kita masuk ke medan dan mencorak keputusan.
Jangan takut untuk menjadi pemimpin. Jangan ragu untuk bersuara.
Kerana apabila wanita bersuara dengan ilmu, adab dan kebijaksanaan , dunia akan mendengar, dan arus akan berubah.
Di bawah panji Parti Gagasan Rakyat Sabah, wanita bukan sekadar pelengkap perjuangan, kita adalah penggerak utama kebangkitan rakyat.
Kita bukan lagi sekadar penyokong di belakang tabir, tetapi pemimpin di hadapan pentas, membawa suara komuniti, suara keluarga, suara akar umbi.
Pilihan Raya Negeri ke-17 kelak bukan sekadar tentang perebutan kuasa tetapi tentang masa depan Sabah. Dan masa depan itu, tidak akan lengkap tanpa kehadiran wanita yang berani bangkit, menggenggam aspirasi, dan bersama menyusun strategi, menggerakkan jentera, dan memperjuangkan dasar yang menyentuh kehidupan rakyat.
Saya yakin dan pasti wanita Gagasan Rakyat Sabah adalah wanita yang punya prinsip, punya misi, dan punya keberanian. Ayuh kita bersatu, kita bergerak serentak, kita sahut seruan ini dengan tekad dan iltizam.
Inilah waktunya kita mencipta sejarah, bukan sekadar menyaksikannya.
Wahai wanita PGRS, kamu bukan beban perjuangan, kita adalah tulang belakang, jiwa dan nyawa perjuangan.
POLITIK BUKAN MILIK LELAKI SAHAJA
Siapa kata politik itu hak lelaki semata-mata? Wanita juga mampu bersuara lantang di parlimen, menggubal dasar, dan mencorak agenda pembangunan.
Hari ini kita lihat wanita menjadi menteri, ADUN, Ahli Parlimen, bahkan pemimpin dunia.
Wanita juga mampu bersuara lantang di parlimen, Mampu menggubal dasar, mencorak agenda pembangunan, mampu menjadi wakil suara rakyat, dari desa hingga ke Dewan Negara.
Contoh terbaik ada di depan kita pemimpin wanita kecil molek, manis orangnya, namun penuh dengan semangat juang dan keteguhan prinsip, itulah YB Senator Datuk Anna Bell Perian, Ketua Penerangan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah, yang menjadi simbol kekuatan suara wanita di medan perjuangan politik negeri ini.
Di sebalik senyuman lembutnya, tersembunyi keberanian yang luar biasa dalam mengangkat martabat rakyat, khususnya wanita Sabah.
Hari ini kita lihat wanita yang telah mengangkat nilai dan maruah Wanita ke tempat tinggi hingga menjadi menteri, ADUN, Ahli Parlimen, bahkan pemimpin dunia.
Jacinda Ardern, bekas Perdana Menteri New Zealand,
Angela Merkel, Canselor Jerman yang dihormati.
Yang Berbahagia Datuk Azizah Mohd Dun -Srikandi dari Sabah yang juga Ketua Wanita GRS yang lantang memperjuangkan politik negeri dan menjulang suara Wanita Wanita yang saya sebut tadi jejak mereka membuktikan Wanita bukan pelengkap perjuangan tetapi wanita jantungnya.
Dalam denyut nadi politik bangsa, wanita adalah nurani yang membimbing arah, adalah suara yang menyulam harapan.
Mereka tidak hanya berdiri di belakang, tetapi di tengah medan, menggenggam amanah rakyat, mengangkat maruah negara. Tanpa wanita, politik hanyalah gema tanpa jiwa, langkah tanpa arah.
Pastinya..wanita-wanita yang hadir pada hari ini adalah pemimpin yang hebat di tempat masing-masing. Namun lebih hebat,wanita kita di kampung, di bandar, yang memimpin tanpa gelaran.
PENGIKTIRAFAN DAN PELUANG KEPIMPINAN UNTUK WANITA
Maka, di hadapan perwakilan Wanita pada hari ini,saya merayu dan memohon dengan penuh hormat kepada kepimpinan tertinggi parti berikanlah kami wanita peluang yang seadil-adilnya Berilah ruang kepada wanita untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri ke-17.
Kami dambakan Wanita yang bukan hanya berada di pinggiran DUN atau kerusi Parlimen..tetapi memimpin ditengahnya,menggubal dasar,Bersama menstruktur hala tuju negeri tercinta dan memperjuangkan suara rakay
dengan hati dan integriti.
Wanita bukan ingin menuntut lebih, tetapi wanita ingin menyumbang semaksimumnya. Kami tidak ingin kekal sebagai penyokong di belakang, sedangkan kami juga mampu memimpin di hadapan. Kami bukan meminta simpati, tetapi menuntut ruang yang adil untuk membuktikan kemampuan.
Kami bukan sekadar pelengkap dalam perjuangan, tetapi pemangki kepada perubahan.
Jangan sesekali memandang remeh suara Wanita kerana apabila kami melangkah dengan tekad dan prinsip, kami bukan sahaja menggoncang gelanggang, kami memimpin arah perjuangan.
Sejarah membuktikan, Saidatina Khadijah wanita hebat, hartawan, penyokong utama Nabi dan Saidatina Aisyah cendekiawan agung yang menjadi rujukan para ulama.
Dalam politik moden, contoh Wanita hebat ialah Tan Sri Rafidah Aziz, mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, digelar ‘Iron Lady’ Malaysia seorang wanita tegas, lantang, dan dihormati di peringkat antarabangsa atas kewibawaannya memimpin sektor ekonomi negara selama lebih dua dekad.
Wanita tidak pernah datang dengan meminta-minta.Kami tidak merintih untuk simpati,tidak merayu untuk belas kasihan.Tetapi hari ini, kami tampil dengan suara yang jujur, dengan hati yang tulus ,memohon agar kekuatan kami dipandang,kemampuan kami diiktiraf,dan peranan kami dihargai.
Berilah ruang untuk wanita melangkah lebih ke hadapan. Bukalah pintu kepada kepimpinan,agar wanita juga dapat menyumbang di meja keputusan sebagai calon, sebagai pemimpin,sebagai pembuat dasar, bukan hanya pelaksana.
Daripada penyokong belakang tabir kepada pemimpin di barisan hadapan,daripada penunggu perubahan kepada peggerak revolusi parti.
Jangan ragu kepada Wanita, kerana apabila wanita melangkah denganyakin ,wanita berdiri di pentas politik, mereka bukan sekadar membawa suara, mereka membawa harapan, hikmah dan keberanian.
Wanita bukan tentang menguasai, tetapi menyatu hati rakyat dengan kasih yang bijaksana.
Mereka memimpin bukan dengan tangan besi, tetapi dengan jiwa yang memahami dan kelembutan. Di tangan wanita, politik menjadi wadah yang membina, bukan menghukum, kerana di balik senyuman manis Wanita, tersimpan kekuatan yang mampu menggoncang dunia.
Kerana kami bukan beban perjuangan,tetapi tulang belakangnya.Kami bukan sekadar penyokong,tetapi pencetus gelombang.
Tegas kami buka kerana angkuh, lembut kami bukan kerana lemah,tetapi kerana kami percaya kemenangan tidak akan sempurna tanpa wanita di sisi. Wanita dicipta bukan untuk mendahului, tetapi bukan pula untuk ditinggalkan jauh di belakang.
SERUAN KEPADA SEMUA WANITA PGRS
Bangkitlah wahai wanita!
Sejarah telah membuktikan bahawa wanita yang memiliki jiwa besar, keberanian dan prinsip, mampu menggoncang dunia dengan langkahnya.
Kita ada Tun Fatimah, srikandi Melaka yang bijaksana dan gagah mempertahankan kedaulatan bangsa.
Kita ada Raden Ajeng Kartini, pejuang wanita Nusantara yang membuka ruang pendidikan untuk kaumnya.
Kita ada Benazir Bhutto, wanita pertama yang memimpin negara Islam moden sebagai Perdana Menteri Pakistan.
Dan di tanah air kita sendiri, kita ada Tan Sri Rafidah Aziz, ‘Iron Lady’ yang tegas di pentas ekonomi dan perdagangan dunia.
Kini, di Sabah, kita ada wanita-wanita hebat dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah , srikandi yang sedang mencipta gelombang perubahan! Antaranya Yang Berbahagia Datuk Redonah Bahanda Ketua Wanita PGRS dan YB Senator Datuk Anna Bell Perian, Ketua Penerangan Wanita PGRS Sabah yang penuh wibawa dan tekad dalam menyampaikan suara rakyat dan memacu pemikiran wanita ke arah masa depan yang progresif.
Kita tidak boleh lagi hanya berada di kerusi belakang, menjadi penonton dalam gelanggang demokrasi. Sudah tiba masanya kita masuk ke medan menjadi pencatur, penyusun strategi, dan pembuat keputusan.
Suara wanita bukan suara kecil. Bila digemakan dengan ilmu dan prinsip, ia mampu meruntuhkan tembok ketidakadilan dan membina negara.
Pilihan Raya Negeri ke-17 bakal tiba. Ini bukan hanya pertempuran politik biasa, ini adalah ruang untuk kita wanita Gagasan Rakyat Sabah bangkit membawa harapan rakyat.
Ayuh, gerakkan jentera kita. Satu hati, satu matlamat, satu perjuangan .
Inilah waktunya untuk kita terus melangkah, bukan lagi berundur!
PENUTUP
Akhir bicara, Jika semalam kita hanya memerhati, hari ini kita melangkah berani.
Jika dahulu suara kita dibisukan, hari ini kita bersuara dengan penuh keyakinan.
Kerana dalam setiap denyut nadi wanita Gagasan Rakyat mengalir darah perjuangan yang tidak pernah padam.
Kita bukan hadir untuk bersaing, tetapi untuk menyumbang.
Kita bukan berdiri untuk dipuji, tetapi untuk berbakti. Dan bila srikandi bangkit,bukan satu, tetapi seribu akan menggoncang bumi perjuangan ini dengan ilmu dengan hikmah, dan dengan hati yang ikhlas demi rakyat.
Maka bangkitlah, wahai wanita Gagasan! Bawa panji harapan ke medan Pilihan Raya ke-17.Kehebatan Wanita bukan dicipta tetapi dibentuk melalui perjuangan.
Kita bukan lagi bayang-bayang, tetapi cahaya yang menerangi arah masa depan negeri tercinta.
Hari ini, kita di ambang PRN ke-17. Kita tidak boleh lagi berlengah. Wanita mesti jadi pasukan hadapan. Kita mesti pastikan calon DUN kita menang.
Kita mesti pastikan negeri ini terus dalam tangan perjuangan dan kita mesti pastikan wanita tidak dilupakan dalam pembentukan kerajaan.
Marilah kita bangkit! Kita lawan dengan semangat,kita gerak dengan strategi,dan kita menangkan calon kita dengan kekuatan jentera wanita!
Sekian, terima kasih.
Salam perjuangan buat semua.
Rumah Kita, Kita Jaga.Sayangi Sabah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
*Puan Roslinah Binti Apin merupakan Ketua Penerangan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) DUN Karanaan.Beliau merupakan salah satu pembahas usul di Persidangan Agung Tahunan 2025 (PAT 2025) Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah
Wanita unggul aspirasi hebat sebuah perjuangan
























Add Comment