Home » Grid kuasa Sabah–Sarawak asas masa depan tenaga Borneo
Blok Borneo Politik

Grid kuasa Sabah–Sarawak asas masa depan tenaga Borneo

MESRA: Hajiji dan Abang Johari berkongsi detik santai sejurus ketibaan di SICC bagi menghadiri majlis pengoperasian projek interkoneksi grid kuasa Sarawak-Sabah.

KOTA KINABALU: Projek penyambungan grid kuasa Sabah–Sarawak dijangka memperkukuh sistem bekalan elektrik negeri ini agar lebih stabil, boleh dipercayai dan mampan dalam jangka panjang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, inisiatif strategik itu akan membantu mengurangkan kebergantungan Sabah terhadap penjanaan tenaga berasaskan bahan api fosil secara berperingkat, selain meningkatkan margin rizab bekalan elektrik negeri.

Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan turut memperkukuh keyakinan pelabur terhadap kebolehlaksanaan serta kebolehpercayaan sistem tenaga Sabah, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negeri secara berterusan.

“Sabah amat menghargai kesediaan Sarawak untuk menjadi rakan strategik dalam sektor tenaga, bukan sahaja melalui kerjasama bekalan elektrik merentasi sempadan, malah sebagai rakan pembangunan Borneo yang berkongsi aspirasi masa depan bersama.

“Pembangunan sektor tenaga memerlukan kerjasama semua pihak sebagai satu pasukan dan komitmen kerajaan negeri jelas, iaitu memastikan sistem bekalan elektrik Sabah terus diperkukuh,” katanya.

Hajiji dan Abang Johari menyempurnakan gimik pelancaran Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah–Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah–Sarawak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.

Hajiji berkata, kerjasama strategik antara Sabah dan Sarawak itu merupakan langkah penting ke arah merealisasikan visi pembangunan bersama di bawah kerangka Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Menurutnya, pembangunan infrastruktur tenaga merentasi sempadan melalui Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid – APG) mampu meningkatkan daya saing ekonomi serta prospek perdagangan tenaga serantau.

“Infrastruktur tenaga yang berdaya tahan dan mampan akan memperkukuh keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa, sekali gus memacu pertumbuhan sektor perindustrian, pembuatan dan industri hiliran,” katanya.

Beliau menambah, Sabah sebagai pintu masuk utama Malaysia ke rantau BIMP-EAGA memainkan peranan strategik dalam menyepadukan sistem kuasa di Borneo.

Katanya, penyepaduan itu membuka potensi perdagangan tenaga rentas sempadan serta membentuk rangka kerja pasaran tenaga serantau yang lebih cekap, bersepadu dan mampan.

Dalam perkembangan sama, Hajiji berkata interkoneksi grid Sabah–Sarawak turut menjadi pencapaian penting yang membuka laluan kepada hubungan tenaga masa depan dengan Kalimantan, Brunei Darussalam dan selatan Filipina.

Menurutnya, permintaan elektrik di Sabah terus meningkat sejajar pertumbuhan populasi, pembangunan industri serta peluasan kawasan luar bandar.

“Memenuhi permintaan ini merupakan keutamaan strategik yang kritikal.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui Majlis Tenaga Sabah, Suruhanjaya Tenaga Sabah dan agensi berkaitan melaksanakan strategi menyeluruh secara berfasa merangkumi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan margin rizab penjanaan sentiasa mencukupi di samping meningkatkan daya tahan dan kebolehpercayaan keseluruhan sistem tenaga negeri.

Antara inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk kelulusan dan pembangunan projek penjanaan baharu dengan campuran sumber tenaga pelbagai.

“Ia merangkumi penggunaan loji janakuasa berasaskan gas sebagai sumber tenaga peralihan, selain pengembangan tenaga boleh baharu seperti hidro, solar dan angin, serta penggunaan teknologi penyimpanan tenaga termaju termasuk sistem bateri dan hidro simpanan pam,” katanya.

Menurut Hajiji, langkah berkenaan bukan sahaja meningkatkan kapasiti bekalan, malah mengurangkan risiko gangguan elektrik dengan mengelakkan kebergantungan kepada satu sumber tenaga sahaja.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri kekal komited memastikan pembangunan sektor tenaga Sabah dilaksanakan seiring prinsip kelestarian alam sekitar.

“Berpandukan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040, kerajaan memberi tumpuan kepada tenaga boleh baharu bagi mengurangkan intensiti karbon, selaras dengan komitmen perubahan iklim di peringkat negeri dan nasional.

“Usaha ini penting demi menjamin masa depan tenaga yang lebih hijau, mampan serta memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.

–TAMAT