KOTA KINABALU: Pengoperasian talian sambung tara 275 kilovolt (kV) Sarawak–Sabah menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh sistem bekalan elektrik serantau serta meningkatkan keselamatan tenaga di seluruh Borneo.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengoperasian sambungan grid yang bermula pada 13 Disember 2025 mencerminkan pelaburan strategik jangka panjang bagi mempertingkat daya tahan tenaga, mengukuhkan kerjasama antara negeri serta menyokong pertumbuhan mampan Sarawak, Sabah dan wilayah Borneo secara keseluruhan.
Menurut beliau, bekalan elektrik yang stabil dan boleh dipercayai merupakan tulang belakang kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan sosial kerana ia menggerakkan industri, membolehkan perniagaan berkembang, menyokong perkhidmatan awam dan memenuhi keperluan harian rakyat.
“Sarawak memiliki sumber tenaga boleh baharu yang besar, khususnya hidrokuasa, sekali gus meletakkan negeri ini pada kedudukan kukuh untuk berkongsi bekalan elektrik dengan Sabah, Brunei dan Kalimantan demi manfaat bersama.
“Ketika ini, Sarawak mempunyai kapasiti hidrokuasa berskala besar sebanyak 3,558 megawatt yang menjadi asas kepada sistem elektrik rendah karbon dan stabil, dengan tambahan 1,285 megawatt lagi dijadualkan beroperasi menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pengoperasian Sambungan Grid Sarawak–Sabah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, kerajaan negeri Sarawak turut meneroka pembangunan tenaga solar terapung di takungan empangan secara berperingkat bagi meningkatkan kapasiti penjanaan sehingga 10 gigawatt menjelang 2030 dan 15 gigawatt menjelang 2035.
Langkah itu, katanya, akan mengukuhkan peranan Sarawak sebagai hab tenaga boleh baharu serantau serta menyokong peralihan tenaga secara lebih mampan.
Menurut beliau, sambungan grid Sarawak–Sabah menjadi contoh praktikal bagaimana sumber tenaga boleh baharu dapat menyokong peralihan tenaga secara nyata, selain memberi fleksibiliti operasi lebih baik antara dua sistem grid.
“Keanjalan sistem tenaga seperti ini meningkatkan kebolehpercayaan rangkaian dan mengukuhkan keselamatan tenaga apabila aliran elektrik dapat disalurkan merentasi sempadan negeri secara lebih cekap mengikut keperluan semasa.
“Ia bukan sahaja memberi keyakinan kepada pelabur, malah membantu industri berkembang dan memastikan komuniti menikmati bekalan elektrik yang stabil setiap hari,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan projek itu turut dibina berasaskan pengalaman Sarawak dalam kerjasama tenaga rentas sempadan, termasuk eksport elektrik ke Kalimantan Barat sejak 2016.
“Pengalaman hampir sedekad ini membuktikan bahawa sambungan grid mampu meningkatkan kebolehpercayaan sistem, mengoptimumkan penggunaan sumber, mengeratkan hubungan serantau serta menyokong agenda kelestarian melalui pengurangan penjanaan berintensiti karbon tinggi,” katanya.
Menurutnya, sambungan grid Sarawak–Sabah selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak yang menekankan pembangunan inklusif, kebolehpercayaan bekalan elektrik serta pengukuhan aktiviti ekonomi antara negeri.
Katanya, projek itu juga menyokong dasar peralihan tenaga Sarawak melalui perkongsian tenaga boleh baharu ke arah campuran tenaga yang lebih seimbang dan rendah karbon.
“Pada peringkat nasional, sambungan grid ini menyumbang kepada matlamat peralihan tenaga Malaysia serta memperlihatkan bagaimana kerjasama antara negeri mampu menyokong sasaran jangka panjang negara,” katanya.
Mengulas perancangan masa depan, Abang Johari berkata Sarawak bersedia memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan tenaga serantau termasuk cadangan penyambungan grid dengan Brunei menjelang 2030, eksport tenaga boleh baharu ke Singapura sehingga satu gigawatt serta kajian sambungan ke Semenanjung Malaysia.
“Gabungan inisiatif ini akan membentuk asas kepada Grid Borneo yang lebih saling terhubung, membolehkan perancangan sistem lebih cekap, pengurusan variasi bekalan yang lebih baik serta integrasi tenaga boleh baharu secara meluas tanpa menjejaskan kebolehpercayaan,” katanya.
Beliau berkata, pada skala lebih besar, projek berkenaan turut menyumbang secara langsung kepada realisasi Grid Kuasa ASEAN yang berteraskan kebolehpercayaan, manfaat bersama dan kemakmuran serantau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata projek berkenaan mengukuhkan rekod Sarawak dalam pertukaran tenaga rentas sempadan serta menyokong pembangunan Grid Borneo yang lebih komprehensif.
Katanya, kerjasama dengan Sabah, Brunei dan Kalimantan di Indonesia membantu menggerakkan konsep Grid Borneo daripada perancangan kepada pelaksanaan sebenar, selari dengan aspirasi Grid Kuasa ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Mohd Yaakob Jaafar pula berkata sambungan grid itu merupakan pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama teknikal, operasi dan dasar tenaga antara Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, pada peringkat awal, sambungan tersebut membekalkan sehingga 50 megawatt dari Sarawak ke Sabah, dengan potensi kapasiti ditingkatkan mengikut kesiapsiagaan sistem dan perancangan masa depan.
“Rangkaian yang lebih bersepadu membolehkan kedua-dua negeri mengurus operasi secara lebih berkesan, khususnya ketika kerja penyelenggaraan berjadual atau situasi luar jangka,” katanya.
–TAMAT

























Add Comment