Home » Ketua Menteri mahu lebih ramai anak Sabah sandang jawatan tinggi persekutuan
Berita GRS Politik

Ketua Menteri mahu lebih ramai anak Sabah sandang jawatan tinggi persekutuan

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan cenderamata kepada Pengerusi SPA Malaysia, Dato Sri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus pada kunjungan hormat di Menara Kinabalu pada Khamis.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berharap lebih ramai anak Sabah yang berkelayakan dapat menyandang jawatan-jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam Persekutuan, termasuk berkhidmat di Putrajaya.

Beliau berkata, anak Sabah perlu lebih terbuka dan bersedia menerima penempatan di luar negeri ini, termasuk di Semenanjung Malaysia, bagi memastikan penyertaan yang lebih seimbang dalam pentadbiran Persekutuan.

“Anak-anak Sabah yang berkelayakan perlu menolak stigma tidak mahu bertugas di luar Sabah. Banyak jawatan kosong dalam perkhidmatan Persekutuan ditawarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia dan telah dipohon oleh anak Sabah.

“Apabila ditawarkan jawatan, termasuk jawatan tinggi walaupun penempatan di Semenanjung, mereka perlu menerimanya supaya lebih ramai anak Sabah dapat berkhidmat dan menyumbang dalam jabatan-jabatan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, Ahmad Jailani Muhamed Yunus, di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Khamis.

Menurut Hajiji, penglibatan lebih ramai anak Sabah dalam perkhidmatan awam Persekutuan bukan sahaja membuka peluang pembangunan kerjaya, malah memperkukuh kefahaman serta penyertaan rakyat Sabah dalam sistem pentadbiran negara secara menyeluruh.

Sementara itu, Ahmad Jailani memaklumkan trend permohonan anak Sabah menyertai perkhidmatan awam Persekutuan menunjukkan peningkatan memberangsangkan, dengan purata kira-kira 2,000 orang dilantik setiap tahun, khususnya untuk berkhidmat di negeri ini.

Beliau turut memaklumkan SPA Malaysia akan membuka sebuah lagi pusat temu duga baharu di Sabah tahun ini di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keningau, selain pusat sedia ada di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, serta meneruskan program ‘outreach’ termasuk Kampung Angkat MADANI bagi memudahkan urusan pengambilan dan temu duga.