Home » GRS bukti kepimpinan stabil, Sabah catat rekod Pembangunan
Berita GRS Politik

GRS bukti kepimpinan stabil, Sabah catat rekod Pembangunan

“Gagalkah kita dengan rekod yang kita capai?” – detik Hajiji memberikan penegasan terhadap pencapaian GRS kepada warga akar umbi.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah membuktikan keupayaannya mentadbir negeri dengan stabil, berkesan dan berpandangan jauh sepanjang lima tahun memimpin Sabah.

Beliau berkata, kejayaan ini adalah hasil pelaksanaan sistematik Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi kerangka utama pembangunan negeri.

“Di bawah SMJ, Sabah mencatat kutipan hasil negeri tertinggi dalam sejarah serta kemajuan pesat dalam sektor perindustrian, pelancongan, pertanian dan modal insan.

“Pelbagai inisiatif pendidikan, bantuan kebajikan dan pembangunan rakyat turut diperkasa agar kesejahteraan rakyat terus terjamin,” katanya ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS, di sini, semalam.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, kerajaan negeri terus komited menyelesaikan masalah asas rakyat seperti air, jalan raya dan elektrik.

Setakat ini, 18 projek bekalan air sedang dilaksanakan di seluruh Sabah, termasuk Empangan Cinta Mata di Tawau, Loji Rawatan Air Kogopon 2 di Papar dan naik taraf Muka Sauk Kabang di Tuaran.

“Kerajaan negeri tidak hanya memberi perhatian kepada jalan negeri, malah bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo diteruskan. Fasa 1B projek ini kini sedang giat berjalan,” katanya.

Dalam sektor tenaga, kerajaan negeri telah memulakan projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom dan menyambut baik pembiayaan RM765 juta Projek Southern Link bagi mengukuhkan sistem tenaga di Pantai Timur Sabah.

Beliau turut menegaskan bahawa Sabah kini menikmati manfaat lebih besar dalam sektor minyak dan gas menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS.

“Melalui CCA, Sabah bukan lagi sekadar penerima royalti dan cukai, tetapi kini terlibat secara langsung dalam rantaian industri minyak dan gas , membuka peluang pekerjaan, pelaburan dan pulangan ekonomi lebih besar kepada negeri,” katanya.

Mengulas kritikan pihak pembangkang, beliau menolak dakwaan kononnya GRS gagal mentadbir Sabah.

“Adakah sebuah kerajaan yang berjaya tingkatkan hasil negeri, laksanakan projek air, elektrik, tanah adat dan pembangunan rakyat boleh dianggap gagal? Yang gagal ialah mereka yang hanya pandai menjual janji tetapi tidak mampu melaksana,” tegasnya.

Beliau turut menyifatkan janji pembangkang untuk menyelesaikan isu air dalam masa setahun atau menghasilkan puluhan ribu jurutera sebagai tidak realistik dan hanya retorik politik.

“Rakyat semakin bijak menilai. Jangan jadi ‘dukun politik’ .  Pandai berjanji dan membaca jampi, tetapi tiada ubat menyembuh,” katanya.

— TAMAT