Home » Hajiji temui sukarelawan Sabah sertai misi kemanusiaan Sumud Flotilla ke Gaza
Berita GRS Politik

Hajiji temui sukarelawan Sabah sertai misi kemanusiaan Sumud Flotilla ke Gaza

Hajiji mendengar pengalaman detik cemas sukarelawan Sabah ketika flotilla dipintas tentera Israel berhampiran Gaza.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor hari ini meluangkan masa bertemu dua sukarelawan dari Sabah yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Pertemuan yang berlangsung di Sri Gaya itu disertai Sul Aidil Sudi dari Tawau, salah seorang peserta misi yang berada di kapal flotilla, serta Khairul Azlee Mohd Yunus dari Sandakan, yang bertugas sebagai kru darat GSF di Sepanyol.

Hajiji menzahirkan rasa bangga dan penghargaan terhadap keberanian mereka membawa nama Sabah dan Malaysia dalam misi antarabangsa itu, meskipun berdepan situasi mencemaskan apabila kapal flotilla dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa berhampiran Gaza awal bulan ini.

“Saya bersyukur kamu dan rakan-rakan selamat kembali ke tanah air. Keberanian dan semangat kemanusiaan anda semua sangat dihargai,” kata Hajiji dalam pertemuan tersebut.

Seorang lagi peserta dari Sabah, penyanyi dan aktivis kemanusiaan Zizi Kirana, tidak dapat menghadiri pertemuan kerana komitmen lain yang telah dijadualkan terlebih dahulu.

Hajiji turut menyatakan sokongan penuh kerajaan negeri terhadap usaha kemanusiaan yang dijalankan anak muda Sabah dan berharap semangat solidariti terhadap rakyat Palestin terus disemai dalam kalangan masyarakat.

— TAMAT