Home » GRS buktikan keupayaan, Warisan hanya jual janji: Nizam
Berita GRS Politik

GRS buktikan keupayaan, Warisan hanya jual janji: Nizam

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menegaskan bahawa prestasi Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor membuktikan keupayaan sebenar dalam mentadbir negeri secara berkesan , bukan sekadar berjanji bulan dan bintang.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, yang menuduh Hajiji sebagai “penjual ubat” dalam kancah politik negeri.

Menurut Nizam, tuduhan itu tidak berasas dan sekadar helah politik untuk mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan pentadbiran Warisan sewaktu berkuasa antara 2018 hingga 2020.

“Shafie boleh tuduh apa sahaja, tetapi rakyat tahu siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya menjual janji. Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan slogan kosong, ia pelan pembangunan menyeluruh yang telah membuahkan hasil ketara dalam tempoh singkat,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Di bawah kepimpinan Hajiji, hasil negeri meningkat hampir RM7 bilion pada 2024 – tertinggi dalam sejarah Sabah — hasil daripada reformasi fiskal dan pentadbiran baharu. Selain itu, pelaburan bernilai RM11.37 bilion berjaya direkodkan dalam tempoh Januari hingga Jun 2025.

“Ini bukti nyata bahawa Sabah kini ditadbir dengan baik dan berkesan. GRS tidak sekadar bercakap, tetapi melaksanakan dasar berasaskan fakta dan hasil,” tegasnya.

Mengulas mengenai isu air yang sering dijadikan modal politik Warisan, Nizam menjelaskan bahawa kerajaan GRS telah melaksanakan 18 projek infrastruktur air di seluruh negeri termasuk Empangan Air Tawau, Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon II di Papar, dan Muka Sauk Kabang yang dijangka siap pada 2026.

“Ini bukan janji setahun selesai seperti retorik lama. Ia pelan jangka panjang yang menyelesaikan masalah bekalan air secara berperingkat dan mampan,” katanya.

Selain itu, di bawah pelan SMJ, pelbagai inisiatif lain turut berjaya dilaksanakan  termasuk pembinaan lebih 7,000 unit Rumah Mesra SMJ, naik taraf jalan luar bandar, dan pelaksanaan bantuan tunai SMJ bagi meringankan beban rakyat berpendapatan rendah.

“GRS tidak menjual ubat, tetapi sedang menyembuhkan penyakit legasi pentadbiran lalu,” tegas Nizam sambil menambah bahawa rakyat Sabah kini lebih matang untuk menilai prestasi sebenar kerajaan.

Beliau menyeru agar rakyat terus memberi kepercayaan kepada kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor demi memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan tanpa gangguan politik.

— TAMAT