KOTA KINABALU: Parti-parti tempatan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal dominan dalam pentadbiran negeri meskipun gabungan itu menjalin kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kata Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai.
Menurut beliau, sejak penubuhan GRS, objektif utama gabungan itu ialah memastikan kepimpinan negeri terus diterajui oleh parti-parti tempatan, sekali gus mengekalkan autonomi politik Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Sejak GRS ditubuhkan, prinsip kita jelas ,parti-parti tempatan mesti kekal memimpin negeri ini. Jika dilihat sekarang, Ketua Menteri adalah daripada parti tempatan dan hampir 80 peratus jawatan utama dipegang oleh pemimpin Sabah sendiri,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, baru-baru ini.
Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan bahawa kerjasama antara GRS dan PH bukan bermaksud tunduk kepada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya satu langkah berstrategi untuk mengekalkan kestabilan politik dan memastikan tuntutan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diteruskan.
“Kerjasama ini bukan soal tunduk, tetapi soal kebijaksanaan politik. Kita tegas dalam mempertahankan hak Sabah, namun kita berunding dalam suasana harmoni. Hasilnya dapat dilihat melalui pemberian khas meningkat daripada RM50 juta kepada RM600 juta, sementara menunggu penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil negeri,” jelas beliau.
Selain itu, Joniston berkata pelaksanaan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara Kerajaan Negeri dan Petronas turut membuahkan hasil besar kepada ekonomi Sabah dan memperkukuh kedudukan negeri dalam sektor tenaga.
“Rakyat tidak menilai sejauh mana kita menjerit di pentas politik, tetapi sejauh mana kita berjaya membawa hasilnya kepada negeri,” katanya.
Mengulas mengenai rundingan pembahagian kerusi antara GRS dan PH bagi PRN17, Joniston menegaskan bahawa ia dilakukan secara adil dan berasaskan kekuatan parti masing-masing.
“Kalau kita minta banyak kerusi tetapi tidak berupaya menang, ia tidak membawa makna. Rundingan ini dibuat berdasarkan keupayaan sebenar dan rekod prestasi,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa kerjasama GRS–PH perlu dilihat dalam konteks strategik bagi memastikan kestabilan berterusan di Sabah.
“Langkah Kinabalu pada 2023 membuktikan komitmen PH untuk bersama GRS mengekalkan kestabilan negeri. Kerjasama ini bukan satu kompromi, tetapi kesinambungan untuk pembangunan Sabah,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN Sabah ke-17 pada 29 November ini, manakala penamaan calon pada 15 November. Rundingan antara GRS dan PH kini di peringkat akhir, sementara perbincangan PH dengan Barisan Nasional (BN) telah selesai sepenuhnya.
Joniston menegaskan bahawa fokus utama GRS kekal sama — memastikan parti tempatan terus menerajui Sabah, dengan pendekatan yang matang, berhemah dan berorientasikan hasil untuk rakyat.
“Kekuatan kita datang daripada kestabilan. GRS bukan sekadar slogan ‘Sabah untuk Sabahan’, tetapi pelan tindakan nyata untuk membina negeri yang maju dan bersatu,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment