KOTA KINABALU:Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan pendirian untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menolak sebarang cadangan untuk menyertai Gerakan Bersatu Sabah (GBS) yang digerakkan oleh Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata parti itu tidak pernah menerima sebarang cadangan rasmi untuk menyertai GBS dan kekal komited memperkukuh GRS sebagai wadah penyatuan utama parti-parti tempatan di negeri ini.
“Setakat ini, PBS tidak mendengar apa-apa cadangan untuk bersama GBS. Kami sudah pun berada dalam GRS dan akan terus mempertahankan keputusan itu kerana ia baik untuk negeri Sabah dan rakyat,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, baru-baru ini.
Joniston menegaskan, PBS berpegang kepada prinsip konsistensi dan integriti dalam perjuangan politik, sambil menekankan bahawa kestabilan serta penyatuan politik hanya boleh dicapai melalui keutuhan dalam gabungan sedia ada.
Beliau berkata, GRS kekal sebagai platform terbaik bagi menyatupadukan rakyat Sabah dan mengekalkan hubungan harmoni dengan Kerajaan Persekutuan.
“PBS sudah melalui pelbagai pengalaman dalam tempoh 40 tahun. Kita belajar bahawa perpecahan tidak membawa manfaat, malah membuka ruang kepada pihak lain untuk mengambil kesempatan,” katanya.
Mengulas pembentukan GBS oleh STAR dan SAPP, Joniston menegaskan bahawa tindakan menubuhkan satu lagi gabungan selepas keluar daripada GRS hanya akan memecahbelahkan kekuatan politik tempatan.
“Mewujudkan satu lagi gabungan selepas keluar daripada GRS bukanlah langkah bijak. Walaupun pembentukan parti baharu adalah hak demokrasi, implikasinya terhadap perpaduan politik Sabah perlu diambil kira,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu menegaskan bahawa GRS kini sudah mendahului dalam usaha menyatupadukan parti-parti tempatan dan kekal dominan dalam landskap politik Sabah.
“Kita dalam GRS harus teruskan perjuangan ini. Apa yang penting, GRS kekal sebagai kuasa politik utama yang diterajui oleh parti-parti tempatan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Joniston menegaskan bahawa keputusan STAR dan SAPP untuk keluar daripada GRS serta menubuhkan GBS bukanlah ancaman, sebaliknya mencerminkan suburnya sistem demokrasi di Sabah.
“Kita menghormati keputusan mereka. Namun, kekuatan sebenar datang daripada kestabilan, bukan perpecahan. Terlalu banyak parti kecil hanya akan memecahkan undi rakyat Sabah sendiri,” katanya.
Sebelum ini, STAR dan SAPP mengumumkan keputusan keluar daripada GRS untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17. Kedua-dua parti itu kini dalam proses menubuhkan blok politik baharu dikenali sebagai Gerakan Bersatu Sabah (GBS).
Presiden STAR, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, sebelum ini dilaporkan berkata bahawa GBS dijangka dilancarkan sebelum PRN-17 sebagai gabungan alternatif yang menghimpunkan parti-parti tempatan.
— TAMAT

























Add Comment