TAWAU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah menegaskan bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat, seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Menurut Liew, sepanjang beliau bersama dalam pentadbiran GRS, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sentiasa menekankan bahawa setiap rakyat Sabah berhak menerima bantuan tanpa mengira latar belakang politik, agama mahupun kaum.
“Saya sendiri menyaksikan bagaimana Ketua Menteri memberikan bantuan kepada rakyat yang memerlukan, tidak kira sama ada mereka penyokong kerajaan atau pembangkang. Hari ini pun, ada penerima Rumah Mesra SMJ yang bukan penyokong GRS – namun tiada bantahan atau diskriminasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan lima unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada penerima di Merotai.
Liew menambah, prinsip GRS jelas – rakyat mesti diutamakan.
“Ketua Menteri selalu mengingatkan kami bahawa rakyat adalah penentu kerajaan. Bila rakyat susah, kerajaan mesti bantu. Itu tanggungjawab pemimpin,” katanya.
Beliau turut menggesa penerima bantuan untuk berlaku adil dalam menilai usaha kerajaan yang telah menyediakan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk rumah percuma di bawah program SMJ.
“Selama ini tidak pernah ada kerajaan yang benar-benar memberi rumah percuma kepada rakyat. Tetapi masih ada yang menyebarkan fitnah. Ini tidak adil,” tegasnya.
Menurut Liew, sekiranya GRS terus menerima mandat dalam pilihan raya akan datang, program perumahan rakyat akan diperluas ke lebih banyak kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Kami komited pastikan lebih ramai rakyat berpendapatan rendah dan golongan susah mendapat manfaat,” katanya.
Rakyat sendiri akui – pertama kali bantuan benar-benar tiba.
Seorang penerima rumah SMJ, Jais Tarongak, 55, melahirkan rasa syukur apabila menerima kunci rumah baharu.
“Sudah lama kami menunggu bantuan rumah. Banyak pemimpin datang, tapi kali ini baru benar-benar dapat. Terima kasih kepada kerajaan GRS dan Tan Sri Liew,” katanya sebak.
— TAMAT

























Add Comment