KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) bersama sektor swasta untuk memainkan peranan strategik dalam pembangunan Bandar Pintar (Smart City) di negeri ini.
Beliau berkata, dua projek Bandar Pintar sedang dirancang di Penampang dan Kota Kinabalu sebagai sebahagian daripada usaha Sabah menuju era pembangunan bandar berteraskan teknologi, kelestarian dan kesejahteraan rakyat.
“Pembangunan Bandar Pintar akan menjadi fokus utama Sabah. Saya menggalakkan SHAREDA dan pihak swasta untuk terlibat secara aktif dengan mengintegrasikan teknologi moden, kelestarian alam dan keperluan komuniti bagi mewujudkan kehidupan bandar yang lebih pintar, efisien dan selesa,” katanya.
Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam ketika Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-47 SHAREDA di Magellan Sutera Resort, malam semalam.
Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan menyediakan ekosistem mesra pelabur dengan memperkemas prosedur, menambah baik penyampaian perkhidmatan serta memastikan dasar kekal telus dan adil.
“Kerajaan komited untuk memastikan pertumbuhan sektor hartanah dan perumahan terus berkembang, namun kekal seimbang dan inklusif,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penyediaan rumah mampu milik masih menjadi keutamaan kerajaan.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan sektor swasta bagi memastikan rakyat Sabah, khususnya golongan B40 dan M40, mendapat akses kepada rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki,” ujarnya.
Ketua Menteri turut memuji usaha SHAREDA yang memberi tumpuan kepada pembangunan hijau dan lestari selaras dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Pendekatan berpandangan jauh ini memastikan pembangunan hari ini tidak menjejaskan keperluan generasi akan datang,” katanya sambil menambah bahawa sektor hartanah kekal sebagai pemacu ekonomi penting melalui penciptaan pekerjaan, pelaburan dan peningkatan kualiti hidup rakyat.
— TAMAT

























Add Comment